Projek mentransformasikan sosio-ekonomi komuniti kampung melalui Projek cili fertigasi yang diperkenalkan oleh Duta Jauhar 3.0 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kepada penduduk Kampung Parit Surau Darat, Parit Raja Batu Pahat telah mendatangkan hasil yang lumayan setelah dituai dan diedarkan kepada peraih.

Sebelum ini sebanyak 1300 pokok cili yang berusia 45 hari sedia untuk dipetik dan sebanyak 150 kilogram cili tuaian pertama berjaya dijual kepada peraih pada harga RM12 sekilogram dan hampir RM2000 berjaya diperoleh hasil jualan cili ini.

Untuk rekod, pokok cili ini boleh menghasilkan sehingga 2.5 kilogram sepokok sepanjang enam bulan tempoh kitaran hayat. Ini bermakna sebanyak 3250 kilogram cili boleh dihasilkan oleh 1300 pokok dengan pendapatan yang dijangkakan sebanyak RM39,000.

Jumlah tersebut sekali gus meningkatkan lagi pendapatan dan memberi manfaat kepada lapan keluarga yang terpilih sebagai peserta projek ini. Di samping hasil tuaian, mereka turut menghasilkan produk hiliran seperti kuah pecal kering berlada yang mendapat permintaan luar jangkaan dari masyarakat jawa di sekitar kawasan kampung.

Rentetan itu, satu Majlis Memetik Cili Centil Mega telah diadakan pada 26 November lalu bertempat di tapak penanaman dan telah disempurnakan oleh Datuk Samsolbari Jamali, ADUN Semarang.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan tahniah selain mengakui projek ini berjaya menaikkan taraf sosio-ekonomi penduduk kampung serta dapat menggalakkan lagi pemindahan ilmu yang dijana oleh universiti kepada komuniti sasaran.

“Walaupun projek ini tidak mendapat peruntukan kewangan daripada beliau pada awalnya tetapi kumpulan Duta Jauhar UTHM tetap meneruskan projek cili ini dan telah membuktikan tanpa peruntukan pun mereka boleh berjaya,” katanya.

Justeru itu, atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh kumpulan Duta Jauhar UTHM, beliau telah menyumbang sebanyak RM2000 khusus untuk projek tersebut.

Turut hadir, Profesor Madya Dr. Asri Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), UTHM. Beliau dalam ucapan aluannya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor kerana mengiktiraf idea, peranan dan khidmat bakti kumpulan Mahasiswa Johor UTHM untuk turut sama bermuafakat bagi membangun dan memajukan sosio-ekonomi masyarakat di negeri Johor.