Berita UTHM

WAKAF MEMPERKASA PENDIDIKAN

Sumber : Utusan Online ,  03 Mac 2016 6:20 PM

KEMUDAHAN belajar yang memuaskan adalah aset penting untuk menjamin kualiti akademik. Sebab itulah, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memberi perhatian serius tentang perkara ini.

Sekiranya asrama pelajar jauh dari makmal pasti menyukarkan mereka memantau proses kajian pada waktu malam. Justeru, tidak hairanlah beberapa universiti ter­kenal di luar negara membina asrama berdekatan dengan makmal supaya kajian boleh dipantau sepanjang masa. Begitupun, pembinaan asrama di luar kampus juga memberi impak positif teruta­ma dari segi penjanaan ekonomi masyarakat setempat.

Dalam konteks ini, sistem wakaf sekiranya dilaksanakan bagi menyediakan asrama pelajar sudah pasti dapat membantu mewujudkan persekitaran belajar yang kondusif untuk mereka.

Sistem sama juga boleh diperluaskan bukan sahaja berhubung harta intelek bahkan, wakaf buku, wakaf peralatan makmal untuk R&D, wakaf kolam renang, wakaf cafe, wakaf bilik kuliah dan sebagainya. Bagaimanapun, bentuk wa­kaf perlu mematuhi rukun-ru­kun yang disepakati ulama.

Wakaf pendidikan sebenarnya bermula pada era Sallehuddin Al-Ayubi sekitar 1171 hingga 1249 Masihi. Di Turki, Empayar Uthmaniyyah memulakan wakaf pengajian tinggi sekitar 1300 hingga 1924 Masihi. Wakaf bagi Universiti Fateh Sultan Mehmet pula ditubuhkan di Turki pada 1470.

Universiti Al-Azhar ditubuhkan pada 972 Masihi. Pada 2012 universiti ini menguruskan 62 fakulti de­ngan kos AS$20 juta (RM80 juta) setahun menggunakan wang sumbangan wakaf tanpa mengenakan sebarang yuran kepada pelajar. Buat masa ini, di Turki terdapat kira-kira 70 universiti wakaf. Di Indonesia, Universiti Hamka salah satu universiti wakaf yang terkenal. Universiti Gadjah Mada di Jogjakarta juga dikatakan sebuah universiti wakaf yang bermula dari tapak yang dikurniakan Sultan Hamengkubuwono suatu masa dahulu.

Sebuah badan bukan kerajaan iaitu Muhammadiyyah telah mengeluarkan dana untuk 172 institusi penga­jian tinggi di seluruh Indonesia. Nahdatul Ulama pula membiayai hampir 21,000 institusi pengajian di Indonesia. Di Bangladesh, Universiti Hamdani yang juga universiti wakaf telah mengeluarkan ribuan graduan.

Di negara kita, setelah 59 tahun merdeka, terdapat beberapa pihak menjalankan usaha menu­buhkan universiti wakaf, namun, kejayaan sebenar masih belum menjelma.

Di Barat pula, endowmen bermula sejak lama dahulu. Sejarah me­nunjukkan bahawa kerusi endowmen untuk profesor dimulakan pemerin­tah Roman dengan me­lantik seorang ahli falsafah Stoic Marcus Aurelius pada 176 Masihi. Aurelius kemudiannya melantik pemegang kerusi bagi fahaman Plato, Aristotle dan sebagainya.

Universiti Oxford dan Cambridge melancarkan kerusi endowmen pada 1502. Pada 2014, Universiti Glasgow mempunyai 15 profesor ditaja melalui kerusi endowmen dalam pelbagai bidang kebitaraan. Antaranya profesor terkenal Isaac Newton dalam bidang matematik di Universiti Cambridge, England.

Kejayaan beberapa universiti tersohor memajukan endowmen/wakaf begitu mengujakan. Pada 2013, Universiti Cambridge mempunyai £4,900 juta dana untuk ke­gunaan pelajar dan pensyarahnya. Dikatakan sekiranya tiada peruntukan kewangan yang diterima dari Westminster, mereka masih mampu menampung kegiatan akademik selama beberapa tahun.

Begitu juga di Universiti Oxford yang mempunyai £3,772 juta pada 2013 berbanding Universiti Harvard di Amerika Syarikat yang mempunyai dana endowmen sebanyak AS$32.3 bilion dan Universiti Yale dengan dana AS$20.8 bilion.

Di Arab Saudi, Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah mempunyai dana wakaf sebanyak AS$20 bilion manakala Universiti Al-Azhar di Mesir pula, ribuan pelajar dan tenaga pendakwah di seluruh dunia berjaya dikeluarkan menggunakan konsep dan amalan wakaf.

Sementara itu di Malaysia, beberapa universiti awam dan swasta telah mengorak langkah memajukan endowmen/wakaf pengajian tinggi mereka. Dana yang ada boleh digunakan apabila sumber kewa­­ng­an berkurangan seperti sekarang. Namun perkara ini hendaklah dijalankan dengan cermat mengikut peruntukan penubuhannya dan selaras dengan kesesuaian hukum dan situasi semasa.

Dalam konteks di atas, penggunaan konsep dan amalan wakaf bagi meningkatkan keupayaan institusi pengajian tinggi di negara kita sudah menampakkan kejayaannya. Kebanyakan institusi pengajian tinggi sudah terlibat de­ngan wakaf atau endowmen sejak sekian lama. Baru-baru ini Kementerian Pendidikan Tinggi melancarkan geran penyelidikan wakaf pendidikan tinggi sebanyak RM3.9 juta yang melibatkan 50 pensyarah dari tujuh universiti awam. Perjuangan telah bermula!

Para penyelidik telah bertungkus-lumus menghasilkan karya-karya penulisan bertaraf dunia, menganjurkan pelbagai seminar, bengkel, makmal, diskusi di dalam dan di luar negara. Ramai pula yang menyelia tesis pelajar mereka di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Mereka sanggup bersengkang mata demi memartabatkan wakaf. Apalah sangat im­buhan bagi keringat mereka dibandingkan dengan rakan-rakan pensyarah yang menjalankan kerja perundingan yang menghasilkan jutaan ringgit di luar sana.

Dalam bidang penyelidikan wa­kaf, dorongan untuk mendapatkan ganjaran pangkat juga jauh dari jangkauan berbanding bi­dang-bidang kebitaraan lain seperti teknologi nano, teknologi tanpa wayar, mi­nyak dan gas dan sebagainya.

Kelihatan perubahan ketara apabila proses pendemokrasian pendi­dikan tinggi dijalankan pihak kerajaan – pendidikan pondok ber­ubah menjadi universiti awam berteraskan Islam yang tumbuh segar mendukung aspirasi negara menuju sebuah pusat ilmuwan tersohor di rantau sebelah sini. Beberapa universiti terkemuka antarabangsa sudah bertapak dan membuka cawanngan di tanah air kita.

Sinaran sudah muncul. Janganlah perkara remeh-temeh diperbesarkan. Janganlah soal identiti atau penggunaan istilah endowmen atau wakaf dijadikan garis pemisah perju­angan ini. Sesungguhnya perjua­ngan memartabatkan wakaf baru bermula. Perjalanannya masih panjang.

PROF. DR. ISMAIL OMAR ialah profesor di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Penulis juga ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan ketua penyelidik wakaf pengajian tinggi negara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/wakaf-memperkasa-pendidikan-1.196481#sthash.etov9t7T.dpuf

Related Posts

Risiko sakit otot rangka ketika raya

Musim perayaan sudah tiba dan kemeriahannya mula dirasai masyarakat terutama umat Islam yang berjaya menjalani…

Merentasi budaya, perpaduan dan tradisi di Hari Raya Aidilfitri

Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang penuh dengan ibadah dan amal kebajikan bagi umat Islam…

Tinggalkan Balasan