Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berkolaborasi dengan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) Indonesia dalam menganjurkan mobiliti berkredit bagi program Latihan Mengajar 2016.
FPTV telah menghantar seramai 16 orang pelajar sarjana muda ke Yogyakarta pada 8 Ogos hingga 2 September lalu iaitu tujuh orang daripadanya merupakan pelajar bidang Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara manakala dua orang lagi daripada bidang Binaan Bangunan dan masing – masing seorang dalam bidang Pemesenan Am serta Elektrik & Elektronik. Sementara itu, lima pelajar dari Program Pensiswazahan Guru (PPG) bidang Matematik dan sains turut mengikuti program ini.
Sepanjang program ini berlangsung para pelajar ditempatkan di tiga buah institusi pendidikan di sekitar Bandar Yogyakarta iaitu seramai tujuh pelajar di Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) Negeri 2 Depok Sleman, empat orang di Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) Negeri 2 Yogyakarta dan lima orang pelajar PPG di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Negeri 1 Yogyakarta, Indonesia. Mereka telah ditugaskan untuk mengajar dalam bidang masing – masing di samping bertanggungjawab untuk mengendalikan aktiviti ko-kurikulum serta pengurusan pelajar.
Hasilnya seramai 12 orang pelajar UNY telah berjaya menjalani program latihan mengajar iaitu dua pelajar ditempatkan di Kolej Vokasional (KV) Batu Pahat dalam bidang Automotif dan Pemesenan, dua lagi di KV Segamat dalam bidang Awam dan Elektronik, seorang di KV Perdagangan Johor Bahru dalam bidang informatik, empat pelajar di KV Muar dalam bidang Kulinari dan Elektrik dan tiga pelajar lagi di Sekolah Menengah Sains Sembrong, Kluang, Johor dalam bidang Sains dan Matematik. Program latihan mengajar tersebut telah bermula pada 25 Julai hingga 18 Ogos lalu.
Antara tujuan mengadakan program ini ialah memberikan pengalaman kepada pelajar mengenai perlaksanaan sistem pendidikan, teknik pengajaran dan pembelajaran, komunikasi antara pelajar dengan guru serta murid, perkongsian ilmu di samping menjalinkan hubungan antarabangsa di antara FPTV dengan UNY dan sekolah – sekolah yang terlibat secara khususnya. Mereka juga didedahkan kepada budaya kerja kakitangan sekolah tersebut yang boleh dijadikan contoh dan teladan serta budaya kehidupan masyarakat di sana.
Profesor Madya Dr Hj. Ahmad Esa, Dekan FPTV bersama Ahli Jawatankuasa HEPA iaitu Profesor Madya Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa; PM Dr Badaruddin Ibrahim,Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengantarabangsaan;  Dr Azman Hasan, Ketua Jabatan Latihan Mengajar dan Latihan Industri dan beberapa pihak lagi banyak membantu dalam menjayakan program ini.
Begitu juga dengan pihak pengurusan Fakultas Teknik, Universitas Yogyakarta yang banyak memberikan sumbangan dan komitmen yang tinggi terutamanya Dr Widarto, Dekan UNY, Dr Muhamad Khairudin Sulaiman, Timbalan Dekan Akademik serta Ibu Dewi, Pensyarah serta pegawai Pejabat Antarabangsa. Turut terlibat sama dalam menjayakan program ini ialah Sekolah Menengah Sains Sembrong, Kolej-kolej Vokasional serta sekolah-sekolah Kejuruan di Yoyakarta.  Kolaborasi yang baik daripada semua pihak  dari kedua-dua negara, Malaysia-Indonesia ini secara tidak langsung menambahkan lagi semangat penganjur untuk meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang.