Dalam mengharungi kemelut kos sara hidup yang tinggi sekarang, mampukah Tabung Wakaf menjana pendapatan supaya pihak pentadbiran universiti dapat mengurangkan kos pendidikan tinggi rakyat? Apakah tahap kefahaman warga kampus terhadap peranan Tabung Wakaf di universiti? Bagaimanakah pihak universiti awam mampu menangani isu keperluan kepada pentadbir wakaf yang profesional?

Menurut kajian yang dijalankan di sebuah universiti awam, hanya 20 peratus tenaga pekerja di universiti berkenaan yang memahami pengertian wakaf pendidikan tinggi dalam erti kata sebenar. Sebaliknya, 80 peratus lagi kurang memahami konsep wakaf. Ada profesor dalam bidang senibina yang melihat wakaf hanyalah tempat duduk dan tempat berhenti atau pondok tempat beristirehat.

Ada juga pensyarah yang kurang faham tentang perbezaan antara wakaf dengan endowmen. Ada pula keliru dengan wakaf buku dan wakaf harta intelek (IP). Penulis juga terkejut apabila sebuah universiti awam menolak bantuan jutaan ringgit untuk membangunkan wakaf sekolah rendah kerana takut tanah mereka terlepas milik kepada agensi lain. Demikianlah, tahap kefahaman masyarakat kita. Sesungguhnya, promosi dan penerangan tentang makna sebenar wakaf perlu dijalankan dengan meluas.

Begitu juga dengan kerjasama antara Agensi Berkaitan wakaf (ABW) dengan universiti awam. Kerjasama erat perlu wujud, di­sebabkan struktur pentadbiran negara berkaitan wakaf. Di bawah Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan, perihal keagamaan terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

Apabila sebuah universiti awam menjalankan urusan menambah dana wakaf, sudah pasti wujud isu pentadbiran dengan ABW di peringkat kerajaan negeri. Begitu juga dengan sebuah universiti awam yang dimiliki sepenuhnya Kerajaan Pusat, usaha mendapatkan tanah wakaf tentu menimbulkan isu dengan ABW di peringkat negeri kerana tanah adalah urusan kerajaan negeri.

Justeru, jalan penyelesaiannya adalah mengharmonikan undang-undang berkaitan wakaf. Terdapat beberapa perundangan berkaitan pendidikan tinggi yang perlu disemak dan dipinda, jika perlu. Antaranya termasuklah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Kanun Tanah Negara (1965), Peraturan Tanah Negeri dan sebagainya.

Dalam konteks ini, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi perlu merangka Polisi Wakaf Pendidikan Tinggi untuk maksud penyeragaman. Polisi sebegini perlu diadakan untuk menjadi panduan semua pihak. Seterusnya, polisi yang dibina boleh digunakan untuk memandu dan memacu pembangunan Tabung Wakaf pendi­di­kan tinggi.

Walaupun dikatakan potensi Tabung Wakaf pendidikan tinggi mempunyai masa depan yang cerah, aspek modal insan untuk mentadbir dan menguruskannya perlu diberi keutamaan. Pentadbir Tabung Wakaf perlu mengetahui dengan mendalam hukum-hakam berkaitan wakaf seperti peranan dan tugas mutawalli dan nazir.

Pada masa sama, mereka juga perlu memahami dengan mendalam perundangan yang berkaitan tanah, hartanah, pro­ses pembangunan tanah, strategi perniagaan wakaf, risiko dan ketidakpastian dalam membangunkan wakaf dan sebagainya. Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian serius semua pentadbir Tabung Wakaf yang prihatin untuk memajukan tabung wakaf universiti. Namun demikian, jemputan kerjasama antara pihak universiti dengan ABW terutama Majlis Agama Islam Negeri-negeri adalah tindakan strategik yang sangat baik.

Universiti-universiti tersohor di dunia banyak menjana dana melalui perolehan endowmen bagi membantu kelancaran penyelidikan dan kebitaraan akademik mereka. Namun demikian, dalam usaha menjalankan ke­giatan Tabung Wakaf terutama yang bersifat pelaburan komersial, universiti perlu berhati-hati. Di sinilah terletaknya kepakaran dalam pentadbiran wakaf. Universiti Harvard di Amerika Syarikat memiliki jumlah endowmen terbesar sebanyak AS$32 bilion (RM128 bilion) pada 2011.

Malangnya, universiti ini mengalami kerugian 30 peratus akibat krisis kewangan 2008-2009 dahulu. Ada pandangan yang mengatakan jumlah kerugian mereka dua kali ganda daripada angka berkenaan. Harvard yang ­melabur dalam pelbagai sumber kerugian AS$11 bilion (RM44 bilion) sepanjang tempoh berkenaan. Akibatnya, mereka menangguhkan pembinaan Kompleks Sains Allston yang berharga AS$1.2 bilion (RM4.8 bilion).

Pada 2011, Harvard mengumumkan pulangan daripada pelaburan endowmen sebanyak 21.4 peratus. Agihan dana endowmen menyumbang hampir 30 peratus daripada belanjawan operasi Harvard. Tabung Endowmen Harvard menyokong kelancaran program akademik, penyelidikan sains dan perubatan dan program bantuan kewangan pelajar tanpa mengira pendapatan mereka. Hampir 60 peratus pelajar prasiswazah menerima biasiswa berjumlah AS$160 juta (RM640 juta) pada 2011. Agihan dan pelaburan yang dijalankan berpandukan Polisi Harvard yang berhasrat menjadikan pelajar dan keluarga mereka mampu untuk melanjutkan pendidikan di universiti terkemuka.

Justeru, pengurusan Tabung Wakaf universiti perlu dijalankan secara profesional. Maksud modal insan profesional bukan sekadar mengetahui ilmu asas berkaitan wakaf semata-mata, malahan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran wakaf yang mendalam dan praktikal.

Profesionalisme juga bermakna pentadbir wakaf seharusnya bernaung di bawah badan ikhtisas yang mengawal selia kegiatan pentadbiran wakaf seperti Pertubuhan Jurukur Diraja Malaysia (RISM) atau Institut Jurutera Malaysia (IEM) dan sebagainya.

Hanya dengan tahap pentad­bi­ran dan pengurusan wakaf yang tinggi dan profesional sahajalah salah laku boleh dihindari. Se­terus­nya, dengan wujudnya pentadbir wakaf yang profe­sional, budaya berwakaf dapat ditingkatkan dan seterusnya melorongkan ke arah kejayaan transformasi wakaf di negara kita.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Ketua Projek Pelestarian Pendidikan Tinggi melalui Wakaf Pendidikan Tinggi dan Pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.