Batu Pahat, 10 Ogos – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Antarabangsa telah menganjurkan Majlis Minum Petang (Hi-Tea) bersempena berlangsungnya program University Presidents Forum (UPF 2016) bermula 8 hingga 10 Ogos lalu bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.
Sebagai penganjur bersama 8th UTM University Presidents Forum 2016, UTHM telah menerima seramai 30 orang delegasi yang melibatkan 11 universiti dari sembilan buah negara untuk Majlis Minum Petang  yang diadakan pada 10 Ogos baru-baru ini bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM. Majlis ini merupakan sebahagian daripada aktiviti program selain Lawatan ke Educity di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Dalam majlis itu, UTHM turut mengambil kesempatan untuk menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama enam buah universiti iaitu University Of Technology Akure, Nigeria, Universitas Gadjah Mada, Indonesia, University Of Twente, Netherlands, Binus University, Indonesia, Far Eastern University, Philippines dan Universitas Trisakti, Indonesia. Beberapa bentuk kerjasama akademik turut dirancang bersama universiti terlibat untuk manfaat bersama.
Selain itu, UTHM turut menyertai program UPF 2016 yang dianjurkan di UTM Skudai pada 9 hingga 10 Ogos lalu seperti “Workshop on University Rankings” selain forum yang bertemakan “Innovation and Sustainable Development”. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Wahid Razzaly turut membuat pembentangan pada sesi kedua forum di UTM dengan tajuk “Championing Higher Technical Vocational Education Training (TVET) for Developing Countries”.
Sementara itu, UTHM menjadi tuan rumah kepada Majlis Makan Malam UPF 2016 yang diadakan di Kediaman Naib Canselor UTM Skudai. Seramai 111 peserta yang melibatkan 60 universiti dari 18 buah negara telah hadir pada malam tersebut manakala 32 peserta lagi terdiri daripada Presiden atau Naib Canselor universiti luar negara.
UTHM sentiasa komited melibatkan diri dalam penganjuran program seumpama ini dan amat berterima kasih kepada UTM atas jemputan sebagai penganjur bersama selain institut pengajian tinggi lain seperti University of Southampton dan Netherlands Maritime Institute of Technology.