Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima seramai 2285 orang pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi 2016/2017 pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada 28 Ogos baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, 1039 terdiri daripada pelajar lelaki manakala 1246 lagi adalah pelajar perempuan.
Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri ini akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Teknologi Kejuruteraan  dan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.
Bagaimanapun, jumlah pendaftaran pelajar dijangka akan terus meningkat sehingga tempoh rayuan berakhir.
Pelajar-pelajar baharu tersebut akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti dan mereka diwajibkan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadual berlangsung selama seminggu bermula 28 Ogos hingga 3 September ini.