Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyahut misi Masyarakat Ekonomi ASEAN (MEA) dengan mewujudkan hubungan erat dua negara Malaysia-Indonesia melalui kerjasama dengan universiti-universiti di negara tersebut.
Dalam rangka kerjasama itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin telah mewakili UTHM dalam melaksanakan beberapa aktiviti yang telah dirancang selain dibantu oleh barisan pegawai-pegawainya. Menurut beliau, UTHM akan sentiasa memperkukuh jalinan kerjasama Malaysia-Indonesia dalam sektor pendidikan bagi meningkatkan lagi jumlah pengambilan pelajar serta kualiti pengajaran dan pembelajaran sedia ada.
Untuk rekod, UTHM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Lancang Kuning (UNILAK) pada 3 March 2016 lalu. Dalam MoU tersebut, UTHM dan UNILAK menjalinkan kerjasama dalam aktiviti pertukaran pelajar, penerbitan ilmiah dan juga penganjuran seminar. Turut dirancang, kerjasama dalam membangunkan kemudahan pengajaran di UNILAK di samping memperbaiki masa depan tenaga kerja Indonesia di Malaysia. Sebelum MoU ini dimeterai, kedua-dua institusi ini pernah menjalinkan kerjasama selama lima tahun dalam melaksanakan aktiviti yg sama.
Selain UNILAK, UTHM melalui Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional turut menjalinkan kerjasama dengan Fakultas Ilmu Tarbiyah dan Keguruan, Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta melalui program pertukaran staf dan pelajar, penganjuran seminar, penyelidikan, penerbitan jurnal, pembangunan masyarakat dan program Double Degree. Dalam merealisasikan bentuk kerjasama yang dirancang,Profesor Datuk Dr. Mohd Noh pernah diundang untuk menyampaikan kuliah umum bertajuk “Educational Leardership In Asean Economic Community (AEC) Era di hadapan ratusan pelajar universiti tersebut.
Sementara itu, UTHM turut mewujudkan hubungan erat dengan Fakultas Teknik (FT), Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dengan menjalinkan kerjasama dalam program pertukaran staf dan pelajar. Antara program yang telah dilaksana ialah penganjuran International Mobility Program Teaching Practice yang menempatkan pelajar Ijazah Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTHM di FT bagi menjalani latihan mengajar. Kerjasama erat ini turut diperluaskan lagi dengan berkongsi pengalaman dalam menawarkan kursus-kursus pengajian baharu bagi meningkatkan lagi jumlah pengambilan pelajar dari kedua-dua negara.
Selain itu, UTHM turut berminat untuk bekerjasama dalam dalam bidang matematik, statistik dan sains dengan UNY di samping menjalinkan kerjasama dalam bidang Human Development melalui Institut Ahli Sunnah Wal Jama’ah, UTHM.
Manakala bagi meneruskan kerjasama yang sedia terjalin sejak 2008, Naib Canselor UTHM bersama delegasinya telah mengadakan lawatan kerja ke Universitas Bung Hatta (UBH), Indonesia pada 2 Jun lalu. Dalam lawatan kerja tersebut, Naib Canselor telah berdialog bersama pimpinan UBH yang diketuai oleh Wakil Rektor I, Dr. Hendra Suherman dan Wakil Rektor II, Dr. Diana Kartika dan dihadiri oleh pensyarah-pensyarah serta pelajar pasca siswazah.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua universiti bersetuju mengadakan kerjasama melalui aktiviti pertukaran pelajar dan penyambungan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Kerjasama ini dilaksanakan bagi memberi manfaat dan peluang kepada pihak universiti meningkatkan lagi jumlah pengambilan pelajar dari Indonesia terutama dalam program pasca siswazah. Ia juga sebagai usaha membuka laluan kepada pelajar dan staf akademik mengukuhkan aktiviti akademik dan juga program khidmat sosial.
UTHM berharap jalinan kerjasama berkenaan boleh memberi kesan kepada usaha menjana kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembelajaran dan pengajaran di dalam mahupun luar negara.
“Moga segala bentuk usaha yang dilaksanakan ini dapat membina rangkaian yang lebih luas dengan Indonesia sekali gus dapat membantu menggerakkan pelan transformasi kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan dengan lebih mantap dan berkesan selaras dengan kehendak masa kini,” kata Mohd Noh.
 oleh:
Suriayati binti Baharom
Bahagian Perhubungan Awam