Sebanyak 6 negara yang melibatkan 100 peserta telah menyertai  The 7th International Conference on Mechanical and Manufacturing Engineering (ICME 2016) anjuran Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 1 hingga 3 Ogos lalu bertempat di Hotel Eastparc, Jogjakarta, Indonesia.
Enam negara yang terlibat ialah Malaysia, Indonesia, Netherlands, Saudi Arabia, Taiwan dan Nigeria negara dengan bilangan 147 kertas kerja yang telah dihantar ke lima buah jurnal yang sekurang-kurangnya berindex SCOPUS dan juga jurnal yang berimpak.
Jurnal tersebut adalah International Journal of Automotive and Mechanical Engineering (IJAME), Journal of Mechanical Engineering & Sciences (JMES), Journal of Medical Imaging and Health Informatics (JMIHI), World Journal of Engineering (WJE), International Journal of Mechanical And Mechatronics Engineering (IJMME), yang merangkumi 21 bidang penyelidikan antaranya ialah teknologi tenaga, rekabentuk kejuruteraan, bahan bioaktif, kejuruteraan automotif, sistem dan rekabentuk pesawat  terbang, serta akustik, bunyi dan getaran. Sebanyak 5 buah kertas kerja telah berjaya diterbitkan di dalam IJMME pada Ogos 2016.
Persidangan yang telah diterajui sejak tahun 2008 ini merupakan penganjuran kali ke-7 dan pada kali ini penganjurannya mendapat kerjasama daripada dua universiti di Indonesia iaitu Universitas Gadjah Mada (UGM) dan Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS).
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini turut diselitkan bersama dengan dua persidangan lain anjuran dua universiti terbabit iaitu persidangan The 6th International Annual Engineering Seminar (InAES 2016) anjuran UGM, Indonesia dan The International Conference on Science, Technology and Humanity (ISETH) anjuran UMS, Indonesia. Perasmian ketiga-tiga persidangan ini telah disempurnakan oleh Profesor Ir. Panut Mulyono, Dekan Fakultsa Teknik, UGM.
Turut diadakan, acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UTHM dan UMS yang ditandatangani oleh Naib Canselor dan Rektor kedua-dua universiti. Perjanjian ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua universiti dalam hal-hal akademik demi kebaikan bersama.
ICME2016 memberi platform kepada para penyelidik untuk berkongsi ilmu, idea dan hasil kajian kepada para penyelidik yang lain selain menjalin hubungan kerjasama dan rangkaian serantau antara penyelidik dari luar negara.
ICME2016 yang bertemakan “Sustainable Energy Towards Global Synergy”ini juga dapat memberikanpendidikan secara tidak langsung kepada para saintis dan akademia untuk memperkasakan kelestarian tenaga untuk kegunaan sejagat,” kata Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin ketika menjadi Pengucap Utama di persidangan tersebut.
Pengucap Utama lain yang turut terlibat ialah Profesor Taufik dari Universiti California Polytechnic State University, San Luis Obispo, USA; Profesor XiaoQi Chen dari University of Canterbury, New Zealand; Profesor Andy Kickpatrick dari Griffith Unievrsity, Australia; Profesor Chan Basaruddin dari Universitas Indonesia, Indonesia; dan Profesor Bambang Setiaji dari Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia.
Penganjuran ICME 2016 ini diharapkan dapatmemperkenalkan UTHM kepada penyelidik luar dan mempamerkan imej yang baik kepada peserta luar negara melalui perbincangan ilmiah berkenaan penyelidikan berkaitan yang dijalankan di Malaysia seterusnya dapat mempromosikan keupayaan pakar dari UTHM dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan pembuatan khususnya dan kelestarian tenaga pada amnya.