Atlit UTHM Nurul Hamira Yusma Yusri telah berjaya menyarung jersi skuad kebangsaan bola sepak wanita  ke Kejuaraan AFF yang berlangsung pada 26 Julai hingga 4 Ogos lalu di Mandalay, Myanmar.
Kejayaan Nurul Hamira mewakili skuad wanita senior kebangsaan telah mencapai sasaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan 30% atlit negara adalah dari atlit universiti yang digelar ‘The Thinking Athlete’.
Kejohanan yang disertai 8 buah negara itu merupakan kejohanan tahunan berprestij anjuran Asean Football Federation (AFF). Dalam kejohanan tersebut Malaysia menamatkan cabaran kumpulan B ditempat ketiga di belakang Vietnam dan Australia B20. Lebih membanggakan, Nurul Hamira merupakan satu-satunya pelajar universiti yang terpilih dalam skuad kebangsaan yang rata-ratanya dibarisi pemain daripada skuad negeri. Selain itu, Nurul Hamira juga bakal beraksi di temasya Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur tahun hadapan.
Semoga penglibatan beliau akan terus mencetus inspirasi dalam kalangan atlit UTHM dan penuntut universiti yang lain untuk berusaha lebih gigih dalam mendapatkan sesuatu. Pusat Sukan dan pihak universiti mengucapkan tahniah di atas pencapaian atlit ini.