Oleh Dr Afandi Ahmad

Sukan mendayung merupakan antara sukan tertua dalam sejarah manusia bermula sejak zaman Greek purba lagi. Sukan ini mula berkembang di England pada abad ke-18, dengan penganjuran perlumbaan dalam kalangan bot pelombong dan berkembang pada pada awal abad ke-19 dalam kalangan para pelajar di institusi pengajian tinggi, bermula di Universiti Oxford dan Cambridge. Di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sukan mendayung tidak keterlaluan jika diangkat sebagai antara ikon UTHM, khususnya apabila salah seorang pendayung UTHM iaitu Saudara Mohd Zulfadli Rozali diiktiraf sebagai atlit sukan mendayung kebangsaan dan kini berada pada tangga kelapan pendayung terbaik Asia.

Menyedari bahawa dalam sukan, kecederaan adalah ancaman yang sukar dikawal serta melahirkan ahli sukan berprestasi tinggi memerlukan usaha yang terancang, Muhammad Syafuan Bin Safiee bersama penyelia projek sarjana muda (PSM) beliau, Dr Afandi Bin Ahmad yang juga merupakan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) mengorak langkah meneroka potensi bidang kejuruteraan sukan dan impaknya menerusi pembangunan Simulator Masa-Nyata ke Arah Prestasi-Maksimum dan Kecederaan-Minimum bagi Sukan Mendayung. Kajian ini juga mendapat sokongan penuh daripada pasukan UTHM Barracuda yang secara jelas menaruh harapan agar sistem yang dibangunkan ini dapat membantu sistem latihan mereka khususnya bagi menajamkan kemahiran mendayung mereka selain meminimumkan risiko kecederaan dan ke arah sistem latihan berasaskan penilaian kendiri.

Menggalas harapan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), UTHM dalam pusingan akhir IMDC 2016 yang telah berlangsung pada 9 Ogos 2016 bertempat di Hotel Equatorial, Pulau Pinang dan berentap bersama-sama dengan 42 pasukan lain daripada pelbagai Universiti di Malaysia, kajian ini akhirnya berjaya menarik perhatian juri yang terdiri daripada pihak industri dan dipilih sebagai Naib Johan bagi trek National Instrument (NI) dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000 bersama perisian edisi pelajar LabVIEW dan papan perkakasan NI myDAQ.

Lebih manis lagi, kejayaan ini juga adalah bersama-sama dengan dua (2) lagi projek oleh FKEE UTHM yang bersaing dalam trek Motorola Solutions oleh Benjamin Low Yen On dan Hafizah Binti Harun di bawah bimbingan Dr Samsul Haimi Bin Dahlan dan Dr Lukman Hanif Bin Muhammad Audah serta satu lagi pasukan yang terdiri daripada Nur Shilla Binti Obin, Azizul Bin Abd Aziz & Nur Farezan Binti Mohammed Suhaimi di bawah penasihatan Encik Mohd Helmy Bin Abd Wahab dengan masing-masing berjaya meraih tempat ketiga dan saguhati.

Untuk rekod, IMDC merupakan pertandingan rekabentuk kejuruteraan yang bersifat merentasi pelbagai disiplin untuk para pelajar prasiswazah kejuruteraan dan sains komputer di Malaysia. Matlamat pertandingan ini adalah untuk mempromosikan budaya inovasi melibatkan rekabentuk kejuruteraan, penyelesaian masalah sebenar dengan penyelesaian praktikal dengan menggunakan produk oleh pelbagai syarikat multinasional yang menjadi penganjur bersama pertandingan ini iaitu Altera, Intel, Keysight, MathWorks, Microsoft, Motorola Solutions, National Instruments, SilTerra, dan ViTrox bersama-sama dengan pendokong utamanya iaitu DreamCatcher, Talent Corp Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Malaysia.

Ringkasnya, kejayaan yang berjaya dicapai ini membuktikan bahawa kualiti PSM pelajar FKEE UTHM adalah cemerlang dan diiktiraf oleh pihak industri. Ini sewajarnya memberikan motivasi kuat kepada para pelajar yang bakal melaksanakan PSM untuk menghasilkan PSM berkualiti tinggi serta dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa demi manfaat kepada masyarakat.

Sesi penerangan kepada pihak juri industri dilakukan dengan penuh bersemangat dan berkeyakinan oleh Muhammad Syafuan Bin Safiee
Nur Shilla Binti Obin bersama Azizul Bin Abd Aziz tenang memberikan penerangan  kepada pihak industri Motorola Solutions
Nur Shilla Binti Obin bersama Azizul Bin Abd Aziz tenang memberikan penerangan
kepada pihak industri Motorola Solutions
Sesi demonstrasi penggunaan simulator sukan mendayung masa-nyata  kepada pihak industri National Instrument (NI)
Sesi demonstrasi penggunaan simulator sukan mendayung masa-nyata
kepada pihak industri National Instrument (NI)
Benjamin Low Yen On tenang meyakinkan panel dari Motorola Solutions
Benjamin Low Yen On tenang meyakinkan panel dari Motorola Solutions