Sebanyak 5,664 botol Air Mineral UTHM telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Anak Syarikatnya selain beberapa individu lain sempena Ramadan tahun ini.

Kesemua Air Mineral tersebut telah diagihkan kepada masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Parit Raja, Sri Gading dan Batu Pahat selain Wisma Anak-anak Yatim Batu Pahat untuk digunakan semasa berbuka puasa atau moreh.

Selain daripada itu, UTHM Commercial turut memberikan sumbangan tersebut kepada Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk diagihkan kepada kakitangan, pesakit di wad dan ahli keluarga pesakit atas dasar prihatin dan sokongan kepada mereka.

Selain itu sebanyak 500 botol air mineral turut diagihkan kepada orang kurang mampu, gelandangan, peniaga-peniaga serta mereka yang menggunakan perkhidmatan bas dan teksi melalui program anjuran Kelab Gerakan Pengguna Mahasiswa UTHM iaitu ‘Street Food Johor’ yang diadakan di Stesen Bas Batu Pahat.

Semua wakil penerima sangat menghargai usaha murni ini selain dapat mengenali dan mengeratkan hubungan dengan sebuah Universiti Awam yang berdekatan dengan mereka. Sokongan penderma yang bermurah hati pada bulan mulia ini juga dapat membantu syarikat mengkomersialkan jenama universiti melalui jualan air mineral.