Pelajar dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Muhammad Faiz Ghazali dan Muhammad Ammar Noor Azman menyambut Hari Raya Aidilfitri 2016 di Thailand apabila menyertai Program ASEAN Vocational and Engineering Camp IoT for Smart University (AVEC 2016).

Kedua-dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional Multimedia Kreatif menyertai program anjuran Rajamanggala University of Technology Lanna (RMUTL) ini yang berlangsung selama tujuh hari bermula 3 hingga 10 Julai lalu di Chiang Mai, Thailand.

Program ini memberi tumpuan dalam meningkatkan penggunaan konsep Teknologi Maklumat dan komunikasi (ICT). Kem ini memfokuskan kepada reka bentuk kejuruteraan intensif, memupuk kreativiti dan pembangunan kejuruteraan melalui penumpuan kepada projek-projek reka bentuk teknologi. Inisiatif program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara negara-negara ASEAN dengan matlamat untuk meningkatkan daya saing global di rantau ini dan juga mengintegrasikan komuniti ASEAN yang berbeza ke dalam satu kepelbagaian sosial serantau ASEAN.

Kem yang diketuai Dr. Nopadon Maneetien ini melibatkan beberapa aktiviti berkenaan ICT yang dijalankan untuk meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dalam kalangan pelajar kejuruteraan. Antaranya ialah ceramah, aktiviti ice breaking,  aktiviti berpasukan  dalam  membangunkan bahasa pengaturcaraan untuk menggerakkan butang hardware, menerokai  embedded system dan juga microcontroller training,  mempelajari penggunaan STM32 dengan WiFi adapter, membina prototaip bagi bahasa pengaturcaraan, perkongsian idea dan pengalaman setiap aktiviti yang telah dilakukan dan sesi dialog di antara setiap peserta.

Program ini juga menjadi medium sebagai pertukaran maklumat, idea dan pemikiran mengenai reka bentuk dan kejuruteraan inovatif. Matlamatnya adalah untuk melahirkan para pemimpin yang terdiri daripada para pelajar muda bagi memastikan mereka dapat memperjuangkan pendirian dan menggalas tanggungjawab untuk segala cabaran bagi mewakili komuniti ASEAN. Selain itu, matlamat program ini adalah untuk mengekalkan hubungan yang kuat, mewujudkan perpaduan dan pembangunan seluruh komuniti di rantau ASEAN.