Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima kunjungan Profesor Pelawat, Profesor Dr. Muhammad Amin daripada Institute of Space Technology, (IST) Islamabad pada 9 Mei 2016.
Lawatan Profesor Dr. Muhammad Amin ke Pusat WARAS adalah sempena Program Profesor Pelawat WARAS yang dianjurkan oleh Pusat WARAS, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, UTHM pada 9 hingga 12 Mei lalu.
Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti telah diatur termasuk Syarahan Perdana Profesor Pelawat dan perbincangan kolaborasi penyelidikan yang sedang dijalankan di antara kumpulan penyelidikan Pusat WARAS dan IST, Islamabad.
Turut dibincangkan beberapa cadangan projek terkini untuk diteruskan bersama dan program pertukaran pelajar yang sedang dijalankan di antara Pusat WARAS dan IST, Islamabad. Selain itu, Pusat WARAS turut menganjurkan Kolokium Pasca Siswazah WARAS pada 11 Mei lalu melibatkan kesemua pelajar pasca siswazah daripada enam kluster penyelidikan Pusat WARAS.
Berdasarkan hasil pembentangan sepanjang kolokium ini, Profesor Dr. Muhammad Amin telah memilih tiga kajian penyelidikan terbaik serta memberikan cadangan dan ulasan penambahbaikan berhubung pembentangan kajian penyelidikan yang sedang dijalankan oleh pelajar-pelajar pasca siswazah di Pusat WARAS.
Sementara itu, Profesor Pelawat Pusat WARAS turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat untuk bertemu Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh  Dalimin di Pejabat beliau. Pelbagai perbincangan merangkumi kerjasama penyelidikan di antara Pusat WARAS dan IST, Islamabad serta perancangan masa hadapan turut diadakan bagi meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua institusi selaras dengan hasrat Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 30 Ogos 2013.
Beberapa perancangan strategik melibatkan skop kolaborasi yang lebih luas telah dikenalpasti bagi memperkukuhkan kesinambungan kerjasama yang telah terjalin melibatkan kedua-dua institusi.