Oleh kerana bilangan pesakit di hospital swasta berkenaan juga ramai, termasuk pesakit dari luar negara, pembedahan hanya boleh dilakukan keesokan harinya dengan mendahulukan deposit sebanyak RM10,000. Setelah bil pembedahan dibayar, didapati kos perubatan kepada dua pakar yang berkaitan hanyalah lebih kurang RM2,500 sahaja manakala yang selebihnya adalah kos ubat-ubatan, x-ray dan sebagainya.

Sahabat berkenaan termenung memikirkan kemudahan kesihatan di negara kita. Sudahlah kosnya tinggi, imbuhan kepada pakarnya juga tidak seberapa dibandingkan dengan kos ubat-ubatan yang diimport dari luar negara. Maknanya, selain berusaha menambahkan bilangan pakar perubatan, pihak kerajaan juga perlu melihat kekurangan pengeluar ubat-ubatan yang berkeupayaan. Dilaporkan bilangan pegawai perubatan sangat kurang ketika ini.

Nisbah yang dicatat pada 2006 ialah 1:600 penduduk. Nisbah yang diunjurkan pada 2020 nanti ialah 1:400 penduduk. Nisbah pegawai pergigian pula adalah 1:4,000 penduduk pada 2006. Bilangan pakar perubatan sudah tentu lebih rendah daripada itu manakala pada masa sama juga bilangan ahli farmasi ialah 1:2,000 penduduk pada 2006. Bilangan pengeluar ubat-ubatan sudah tentu sangat rendah. Nisbah yang ada ini perlu dilihat dan ditambah baik mengikut keperluan semasa dan akan datang.

Salah satu cara untuk mening­katkan kecekapan hospital dan mengurangkan kos perubatan rakyat adalah melalui penubuhan dan pengendalian hospital wakaf. Mengimbau sejarah hospital wakaf amat menyenangkan kita. Tamadun Islam berkembang maju sekitar kurun ke-11 yang memperlihatkan kemajuan dalam sistem birmaristan (bahasa Parsi atau Dar Al Shifaa dalam bahasa Arab dan Darussifaa dalam bahasa Turki) atau hospital.

Hospital yang ditubuhkan pada awal empayar Islam ini, menampung segala kos rawatan, ubat-ubatan, katil, tilam, gaji doktor dan jururawat, farmasi dan juga penyenggaraan bangunan berkaitan.

Tiada pesakit yang dibezakan atas dasar rasa atau agama, setiap pesakit dirawat sehingga sembuh, pesakit wanita dan lelaki dipisahkan dengan doktor yang sama jantina me­rawat pesakit mereka. Disediakan pula tempat ibadat bagi pesakit yang beragama Kristian.

Malahan, disediakan peralatan rekreasi dan pemuzik bagi membantu pesakit-pesakit yang memerlukan. Pada masa itu, hospital bukan setakat merawat pesakit semata-mata, malah menyediakan kemudahan latihan untuk pelatih-pelatih perubatan. Dikatakan hospital Islam ketika itu adalah hospital pertama di dunia yang menyimpan semua rekod pesakit dan laporan perubatan. Malahan, ketika zaman pemerintahan Abbasiyyah, Khalifah Al-Muqtasir memperkenalkan peraturan bahawa amalan perubatan hanya dibenarkan setelah lulus dan mendapat lesen berkenaan.

Mengikut sejarah, Masjid Nabawi di Madinah adalah masjid pertama yang menyediakan rawatan perubatan di halamannya. Dikatakan Khalifah Al-Walid membuka hospital pertama di Damsyik dengan peralatan perubatan dan kepakaran.

Khalifah Harun Al-Rashid pula menubuhkan hospital serba lengkap di Baghdad dan dikendalikan ketua operasi Jabril Ibnu Bukhtishu. Pada tahun 1246 Masihi, hospital wakaf yang pertama iaitu Hospital Al-Qawarun ditubuhkan dan merawat seramai 8,000 pesakit setiap hari secara percuma. Hospital ini dibina dan dikendalikan mengikut konsep dan amalan wakaf.

Pada masa ini, perkembangan wakaf agak menonjol. Sedangkan sebenarnya wakaf telah berkembang sebelum merdeka lagi. Konsep wakaf pondok dimulai sejak sekian lama. Sudah tentu ada keperluan menyediakan rawatan pesakit pada masa itu. Barangkali bentuknya berbeza dengan apa yang kita nikmati sekarang.

Di Yemen sudah ada hospital wakaf yang dinamakan Hospital Mata. Di Indonesia, Hospital Cempaka Putih adalah hospital wakaf yang sudah lama beroperasi. Para pesakit diberi rawatan secara percuma manakala doktor pelatih juga tidak dikenakan sebarang yuran pengajian. Di negara kita, Universiti Islam Malaysia (USIM) adalah satu-satu institusi pen­didikan tinggi awam yang mengendalikan pusat kesihatan berteraskan wakaf.

Di negara kita juga sudah ada Klinik An-Nur yang beroperasi mengikut lunas-lunas wakaf. Dilaporkan bahawa Kumpulan Hospital Penawar dan KPJ telah melibatkan diri dengan hospital wakaf sejak lama dahulu dan mempunyai kira-kira RM500 dana wakaf hospital. Menurut perkembangan terkini, Kumpulan KPJ akan membina lapan lagi hospital menambah rangkaian hospital yang sedia ada. Kesemua hospital baru ini akan siap pada 2017 dan 2018 dengan kos sebanyak RM90 juta hingga RM376 juta tiap satu.

Pelaburan mereka berjumlah RM1.29 bilion. Mereka sudah ada 26 hospital dengan pulangan hasil hampir RM2.85 bilion pada suku pertama 2015. Mereka juga sedang mengintai untuk menceburi sektor pelancongan kesihatan yang mempunyai kira-kira 880,000 pelancong ke negara kita tahun lepas. Mereka juga akan melibatkan diri dengan penyediaan kemudahan pusat kesihatan warga tua yang mempunyai potensi besar.

Seorang pelajar perubatan tahun akhir di sebuah universiti di India mengatakan bahawa terdapat ratusan pelajar perubatan yang ditaja kerajaan setiap tahun. Daripada jumlah ini, ramai juga ditaja pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara). Selebihnya ditaja pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan persendirian.

Bayangkanlah sekiranya sekumpulan daripada graduan yang ditaja ini dikumpulkan dan diberi insentif dan bantuan untuk menjalankan perniagaan hospital swasta, sudah tentu banyak kumpulan hospital pakar yang boleh diwujudkan di seluruh negara.

Malahan operasi mereka juga boleh dikembangkan ke luar negara, menjadi sumbangan Malaysia kepada dunia.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Pensyarah di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan dan juga felo penyelidik Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah (Transform), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).