Oleh Prof. Dr. Ismail Omar
Pensyarah dan Felo Penyelidik Institut Transformasi Sosial Wilayah (TRANSFORM)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM)
Diterbitkan di BH Online,SELASA, 21 JUN 2016 @ 5:51 AM

SEKITAR 1894, George Maxwell iaitu Residen Selangor berkata: “Kita mesti memerintah Tanah Melayu seperti kita memerintah India – jangan sentuh budaya dan agama mereka. Orang Melayu terlalu sensitif dengan adat dan agama mereka”.

Namun, penjajah tubuh Pejabat Pendaftaran Hak Milik bagi tanah di kawasan bandar. Bagi tanah luar bandar ditadbir urus Pejabat Tanah. Pembahagian ini menyebabkan keutamaan tidak diberikan bagi tanah di luar bandar. Orang Melayu yang ramai tinggal di luar bandar seolah-olah terpinggir dan terus mundur.

Ketika era gencatan senjata dengan gerila Parti Komunis Malaya, perkampungan Cina dipagari dan diberi kemudahan air dan elektrik bagi mengawal mereka berurusan dengan pihak penjajah. Kampung-kampung Melayu tiada apa-apa kemudahan diberikan. Sekali lagi, orang Melayu terpinggir.

Pada 1897, penjajah memperkenal Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dikatakan penubuhan MAS untuk melatih orang Melayu mentadbir tanah mereka sendiri apabila British meninggalkan Tanah Melayu nanti. Sebaliknya, ada pandangan mengatakan, dalam mentadbir tanah luar bandar, penjajah utamakan kepentingan penduduk di bandar supaya orang Melayu khusus bercucuk tanam dan membekalkan makanan kepada penduduk di bandar sahaja. Sekali lagi, orang Melayu diminta menjalankan aktiviti pertanian dan bukan komersial.

British tidak yakin

Dengan mengawal dan membendung pasaran tanah, melalui sekatan kepentingan terhadap guna tanah, nilainya akan membeku dan terkunci. Sedangkan mereka percaya kepada ekonomi bebas.

Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu, Edward Lewis Brockman kemudian memperkenalkan Enakmen Rizab Melayu pada 1913. Enakmen ini menghalang urusan tanah daripada orang Melayu kepada bukan Melayu. Impaknya, tanah orang Melayu menjadi sempit pasarannya. Akibatnya, nilainya membeku dan terkunci.Harga pasaran jatuh berbanding tanah-tanah lain. Kebanyakan tanah Rizab Melayu berada di luar bandar. Kebanyakan pemiliknya adalah orang Melayu dengan pertanian tradisi dan kecil-kecilan.

Selepas lebih 100 tahun Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kuala Lumpur ditubuhkan, isu tanah terus diperkatakan. Walaupun ketika penubuhannya, Kampung Baru berada di luar kawasan bandar, lama-kelamaan apabila kawasan Kuala Lumpur membangun setelah diiktiraf sebagai bandaraya dan Wilayah Persekutuan pada 1974, Kampung Baru menjadi sebahagian kawasan bandar. Malangnya, Kampung Baru terhimpit dan menjadi kawasan mundur kerana guna tanahnya masih pertanian. Hingga kini, Kampung Baru terus terhimpit dan menerima tekanan hebat daripada pembangunan hartanah di sekelilingnya.

Sekitar 1950-an, Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu, mula memikirkan nasib orang Melayu di Kampung Baru. Kebanyakan penduduk Kampung Baru datang dari pelbagai ceruk rantau Tanah Melayu. Mereka tinggal di Kampung Baru untuk memulakan kehidupan di bandar. Mereka kesempitan wang ringgit walaupun, kerajaan beri kawasan penempatan secara kekampungan kepada mereka. Dalam kata lain, mereka kaya (penempatan bukan pemilikan) tanah tetapi miskin wang – kemiskinan bandar ketika itu.

Menyedari hakikat ini, Harun menyediakan bantuan kewangan kepada mereka untuk bina rumah di Kampung Baru. Bantuan kewangan atau pinjaman perumahan ini membolehkan orang Melayu memiliki tanah yang asalnya hanya kawasan penempatan sahaja tanpa pemilikan sah. Pinjaman kewangan ini membolehkan mereka diberi pemilikan tanah di kawasan MAS, seterusnya membina rumah sendiri.

Walaupun bantuan kewangan disalur kepada orang Melayu ketika itu, tidak semua ambil pinjaman berkenaan. Ketika itu, ilmu yang berkaitan tanah tidak diajar di sekolah, apalagi di universiti. Menurut Ahmad Nazri Abdullah dalam bukunya Melayu dan Tanah, orang Melayu ketika itu sanggup jual tanah untuk ke Makkah dan adakan kenduri perkahwinan anak. Mereka sanggup bergolok-bergadai. Akhirnya, mereka kehilangan tanah. Namun, mereka bangga kerana dapat adakan kenduri kahwin anak secara besar-besaran.

Pampasan terlalu tinggi

Pada awal 1990-an, kerajaan gagal memajukan tanah di sana menggunakan kuasa pengambilan tanah. Antara halangan yang ada ketika itu adalah amaun pampasan yang diminta sangat tinggi – ada mencecah lebih RM500 sekaki persegi dan nilai pampasan dianggarkan RM600 juta. Kerajaan menarik balik cadangan berkenaan. Orang Melayu di Kampung Baru terlepas peluang memajukan tanah pribumi mereka.

Apabila kerajaan melepaskan semula kepada kuasa pasaran untuk memajukan tanah di Kampung Baru, tiada penonjolan kelihatan. Kuasa pasaran menyebabkan kadar pembangunan harta tanah di Kampung Baru agak perlahan. Hanya orang tertentu yang ada kewangan kukuh dan kesungguhan berjaya memajukan tanah mereka.

Bagi pemilik tanah, tanpa pembangunan sekalipun, nilai tanah mereka tetap meningkat disebabkan tekanan pasaran di sekitarnya. Mereka tidak perlu memajukan tanah mereka dengan tergopoh-gapah. Cukuplah dengan kehidupan sederhana di Kuala Lumpur. Jelaslah masalah sebenar adalah kepemilikan tanah.

Selepas hampir 50 tahun berlalu, naratif pembangunan tanah orang Melayu dan Bumiputera perlu dikaji semula. Mereka mesti membangun bersama-sama dengan pembangunan. Mereka tidak boleh ketinggalan dalam arus perdana yang deras dewasa ini. Inilah yang dikatakan pengupayaan dan pemerkasaan dalam mencapai Wasatiyyah Ekonomi orang Melayu untuk capai wawasan masa hadapan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/166688