Selaras dengan usaha mengukuh penguasaan para penghuni berbahasa Inggeris selain sebagai persediaan menghadapi Malaysia University English Test (MUET), Majlis Pengetua Kolej-kolej Kediaman, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) buat tahun ketiga memperkukuh jenama program MUET My Way dengan meneruskan kelangsungan penganjurannya.
Memilih acara Choral Speaking dengan tema One Heart One Soul, pertandingan pusingan akhir yang diadakan di Tasik Kemajuan G3 pada 6 Mei lalu berlangsung dengan penuh ceria dan bertenaga. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Madya Dr Asri Selamat turut hadir bagi memberi dorongan dan sokongan kepada seluruh warga Kolej Kediaman dan para peserta yang mengambil bahagian.
Sebelum berlangsungnya pusingan akhir, pelbagai aktiviti berkaitan pengukuhan Bahasa Inggeris dilakukan di semua kolej kediaman antaranya pertandingan Choral Speaking peringkat kolej kediaman masing-masing, seminar teknik menjawab bagi MUET dan kempen berbahasa Inggeris. Usaha murni ini adalah signifikan dalam tindakan mengukuhkan keyakinan diri para penghuni Kolej Kediaman untuk menggunakan Bahasa Inggeris dan seterusnya meningkatkan kualiti kelulusan dalam MUET.
Pentas pusingan akhir Choral Speaking pula menyaksikan persaingan sihat antara semua Kolej Kediaman yang mengambil bahagian dengan menampilkan konsep persembahan yang kreatif, kostum yang menarik serta penguasaan bahasa Inggeris yang baik.
Juara Pertandingan Choral Speaking diungguli oleh Kolej Kediaman Perwira, manakala naib juara diraih oleh Kolej Kediaman Tun Dr Ismail dan tempat ketiga pula diraih kumpulan Pelajar Tanpa Asrama (PTA).
Persaingan sihat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap Kolej Kediaman yang bertanding wajar diberikan pujian. Usaha cemerlang pihak Majlis Pengetua Kolej-kolej Kediaman melaksanakan acara ilmiah begini juga wajar diberikan kredit dan seharusnya tidak berhenti di sini. Usaha ini selari dalam usaha melahirkan graduan seimbang berciri keusahawanan seperti yang tertera dalam lonjakan pertama, PPPM-PT.