Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat rekod tersendiri apabila komited menghantar 24 penyertaan ke 27th International Invention & Innovation Exhibition (ITEX ’16) dan berjaya membawa pulang 24 pingat dengan membolot 14 pingat emas dan 10 pingat perak.
Manakala seorang wakil Universiti iaitu, Prof. Madya Dr. Mohd Faiz Liew Abdullah telah memenangi anugerah khas The Best Man Inventor yang dianugerahkan oleh International Federation of Inventors Associations (IFIA). Manakala Prof Madya Dr. Anika Che Rus pula telah memenangi anugerah Best Invention Universities/Educational Institutions Category.
ITEX’16 adalah merupakan penganjuran kali ke 27 telah disempurnakan oleh Menteri di Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau. Pertandingan kali ini telah berlangsung selama tiga hari bemula pada 12 hingga 14 Mei 2016 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sempena ITEX ’16 ini juga, sesi pemadanan perniagaan yang dinamakan Inventors Meet Investors telah diadakan pada hari kedua ITEX ’16. Seramai dua orang penyelidik telah mewakili UTHM dalam sesi pemadanan perniagaan ini iaitu Dr. Shahiron Shahidan dan Profesor Madya Dr. Mohd Faiz Liew Abdullah.
Lebih membanggakan, UTHM telah meraih tempat ketiga dalam kalangan keseluruhan penyertaan pusat pengajian tinggi awam dan swasta serta pusat penyelidikan di Malaysia selepas Malaysian Palm Oil Berhad (MPOB) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Penyertaan ITEX ‘16 ini diharapkan dapat menjadi batu loncatan kepada penyelidik universiti untuk mengkomersilkan teknologi-teknologi yang dihasilkan serta mendapat pengiktirafan dan akan terus berjaya lagi di masa hadapan.
8 9