Sungai Pulai – Bersempena Hari Hutan Antarabangsa 2016, seramai 190 pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah menyertai program “Sahutan Bumi Bakau” yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 April hingga 1 Mei lalu bertempat di Sungai Pulai, Pontian, Johor.
Program kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Johor ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang tampil menghulur bantuan berbentuk tenaga dan dana bagi menjayakan program kesukarelawanan ini.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti menabung dan menanam anak benih bakau secara bergotong royong. Hasilnya peserta telah menabung sebanyak 16916 pokok bakau sekali gus menjadikan proram ini sebagi program rintis pra-perlancaran ke arah mendapat pengiktirafan  “Malaysian Books of Record.”
Program yang telah disempurnakan oleh Adun Nusajaya, Dr Zaini b Abu Bakar ini diadakan bertujuan untuk memulihara alam sekitar melalui penanaman dan penyemaian anak pokok di samping menghayati kepentingan alam sekitar terhadap kehidupan manusia dan keseimbangan ekosistem.
Memandangkan ekosistem paya bakau di Malaysia semakin terancam dan mengalami kemusnahan oleh kegiatan manusia,  aktiviti seperti ini dapat melindungi tumbuhan ini dari mengalami kepupusan.
Manakala bagi peserta yang menyertai program ini, mereka dapat merasai pengalaman menanam dan menyemai bakau di samping menerapkan nilai kepentingan alam sekitar dalam diri peserta. Selain itu, program ini turut menguji ketahanan fizikal dan mental pelajar dalam menghadapi situasi yang sukar serta dalam keadaan serba kekurangan. Penganjuran program ini juga telah mengukuhkan lagi hubungan komuniti UTHM dengan agensi-agensi luar dan jabatan-jabatan yang terlibat secara langsung dalam program ini.
Dekan FPTV, Profesor Madya Dr Ahmad Esa berkata usaha menyemai dan menanam semula tanaman bakau oleh penuntut institut pengajian tinggi ini harus dijadikan contoh dalam usaha memelihara dan memulihara kitaran ekosistem yang semakin terdedah dengan ancaman kemusnahan.
“Pengalaman menabung dan menanam bakau yang diperoleh peserta merupakan pengalaman yang tidak ternilai kerana tidak semua orang dapat merasa pengalaman seperti ini,” katanya.