Oleh Ku Hasnan Ku Halim
Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Diterbitkan di Berita Harian SABTU, 2 APRIL 2016 @ 6:37 AM

SESEORANG itu dianggap patriotik apabila tindakan dan amalannya menepati ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Kata-kata seperti yang diucapkan oleh John Fitzgerald Kennedy iaitu ‘Jangan bertanya apakah sumbangan negara kepada anda tetapi bertanyalah kepada diri anda apakah sumbangan anda kepada negara’ menampakkan ciri patriotisme utama.

Kata-kata patriotik seperti disebut oleh Nathan Hale iaitu ‘Saya kecewa kerana hanya mempunyai satu nyawa sahaja untuk disumbangkan kepada negara saya,’ dan ungkapan George Santayana ‘Kaki kita perlu bertunjangkan tanah air kita, tetapi mata kita perlu meneliti kemajuan ke seluruh dunia’ turut membayangkan kesungguhan dan keperluan kepada penelitian negara lain adalah satu bentuk fahaman tentang patriotisme yang lebih realistik dan tidak melulu. 31 Ogos 1957 kita Merdeka dan 16 September 1963 Malaysia muncul dengan kemasukan Sabah dan Sarawak.

Berpaksikan Perlembagaan

Malaysia adalah negara mesra tetamu, berteraskan kepada merai dan menerima, berkongsi, memberi, disulam dengan keraian menekankan kepentingan kebersamaan yang menguntungi antara satu sama lain. Namun, semua itu hanya mampu direalisasikan berpaksi kepada Perlembagaan. Inilah asas dan teras yang diterima pakai pada hari ini, dibawa dari dahulu sebagai satu tradisi, diperturunkan keramat mantera tersebut sampai kiamat.

Malaysia yang makmur ini bukannya terbina daripada konsep persejarahan sebuah tanah kosong dan lesu, didatangi dan didiami mahupun sebuah tanah berteraskan kepada pertaruhan darah dan gen DNA semata-mata.

Perjanjian kontrak sosial untuk masyarakat Malaysia dipersetujui semenjak tahun 1948 lagi dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia hingga ke hari ini. Persetujuan itu juga dimeterai oleh tiga wakil utama daripada kalangan masyarakat Melayu, Cina mahupun India.

Hak keistimewaan Melayu

Wakil tersebut ialah Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj, Tun Tan Cheng Lock dan juga Tun Sambanthan. Hasil daripada persetujuan itu juga golongan masyarakat Cina dan India diiktiraf menjadi salah sebahagian daripada warganegara Malaysia manakala masyarakat Cina mahupun India pula disyaratkan supaya mengiktiraf beberapa hak keistimewaan yang perlu diberikan kepada seluruh masyarakat Melayu sebagai pertukarannya.

Soalnya, adakah pemahaman ke atas ‘satu’ membawa pengertian yang menyoal kedudukan komposisi etnik di negara ini? Atau ‘satu’ menandakan semua warga Malaysia tidak lagi dilihat pada latar belakang mereka menimbulkan dilema bahawa ia perlu kekal berdasarkan keetnikan dan bukan nilai ‘keselamatan menyeluruh’.

Masing-masing menunjukkan rasa bangga kepada negara yang dihuni dan akan berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Ia boleh dilihat sebagai pelengkap kepada ‘Malaysia Boleh’ yang sunyi sejak tahun 2004 dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial tanahair.

Keunikan ‘satu’ Malaysia terletak kepada ‘keyakinan,’ ‘kepercayaan’ dan ‘kejujuran’ bahawa setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas negara kerana mereka bergelar ‘Harga Malaysia.’ Ramai pemimpin datang dan pergi membuat keputusan popular dan tidak popular. Ada zaman kegemilangan dan ada zaman kemerosotannya tetapi semuanya memahami perlunya ‘perubahan mengikut arus semasa,’ begitu juga dengan 1Malaysia.

Setiap gagasan mahupun slogan yang berkait-rapat dengan negara dan bangsa di Malaysia dahulu, kini dan pasti selama-lamanya, penekanan ayat ‘pasti’ akan menekankan tentang keunikan Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum yang hidup bersatu padu.

Melalui pengurusan dan pentadbiran negara yang sangat teratur membolehkan Malaysia menjadi negara rujukan dalam membentuk masyarakat majmuk. Perpaduan yang wujud dalam negara menjadi contoh dan panduan terutamanya kepada negara lain dalam usaha membentuk satu kumpulan masyarakat bersatu padu.

Jika kita telusuri sejarah negara, dasar pecah dan perintah yang diperkenalkan penjajah pada awalnya mewujudkan ketidaksamaan komposisi kaum terutama dalam aspek ekonomi. Polarisasi dan permasalahan inter etnik dilakukan dengan sewenang-wenangnya demi matlamat kuasa dan kesinambungan penjajahannya.

Ternyata, selepas diaibkan dengan mimpi suram, kelam dan muram selama 446 tahun, apakah kita warganya tidak belajar daripada kesilapan itu? Sesebuah negara yang plural atau majmuk seperti Malaysia amat memerlukan pelbagai konsep dan formula penyatuan rakyat jelatanya ke arah pembinaan satu negara-bangsa yang kukuh, muafakat, progresif, dan makmur.

Konsep dan formula penyatuan warga ini juga diperlukan supaya generasi merdeka Malaysia mempunyai aspirasi yang serupa, melangkah ke destinasi yang sehala, dan sentiasa megah untuk mengibarkan panji-panji perjuangan negara dengan semangat kenegaraan pada setiap masa dan bersiap-siaga ke arah itu.

Barangkali hanya masa akan menentukan kejayaan melahirkan kesedaran, pemahaman dan penerapan Satu Malaysia dalam kalangan warga Malaysia berdasarkan kepada kesungguhan mengubah konsep ini dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan demi masa depan generasi hari ini dan akan datang. Dalam usaha ini Allah bersama kita. Insya-Allah.

Artikel Terbitan Berita Harian  http://www.bharian.com.my/node/139706