Enam penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta rekod tersendiri apabila kesemua mereka berjaya membawa pulang pingat ketika menyertai Malaysia Technology Expo (MTE 2016) yang berlangsung pada 18 hingga 20 Februari lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Sebanyak enam inovasi UTHM telah dipertandingkan dan telah berjaya merangkul dua pingat perak dan empat pingat gangsa. Pingat perak telah dimenangi melalui penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh Dr. Shahiran Sharon dengan inovasi yang bertajuk Acoustic Emission Technique for Damage Classification on Concrete Structure (AE-SignAbe) dan Dr Erwan Sulaiman dengan inovasi yang bertajuk D2Motor for Eclimo Electric Scooter.

Manakala pingat gangsa pula diperolehi oleh Profesor Madya Dr. Mohd Irwan Juki melalui inovasi yang bertajuk ‘ZiR BioConc EM: An Environmental Friendly Bacteria for Improving Concrete Properties’, Profesor Madya Dr. Soon Ching Fhong dengan inovasi bertajuk ‘A Flicking for producing High Throughput 3D Cells’, Dr. NoorDiana Kassim pula dengan tajuk ‘The Development of Step-CNC Mapping System for Compterized Manufacturing Environment’ dan Dr. Josef Hadipramana dengan tajuk ‘FCRHA for Roadside Safety Barrier’.

Pertandingan anjuran ‘Malaysia Association of Research Scientists dan Protemp Trade Exhibition & Meeting Planners’ yang melibatkan penyertaan lebih 400 inovasi ini telah disempurnakan oleh Menteri  Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Sri Panglima Madius Tangau.

Pertandingan pada kali ini telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ‘Invention & Innovation Awards 2016’, ‘Malaysia Internationl Design Expo & Awards 2016’ dan ‘Asian Youth Innovation Awards & Expo 2016’.  Sebanyak 279 inovasi telah dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta telah dihasilkan manakala 253 pingat telah ditawarkan yang merangkumi 136 pingat emas, 70 pingat perak dan 136  pingat gangsa.

Penglibatan UTHM di dalam program ini memberi impak yang besar kepada penyelidik apabila pameran ini menjadi medium untuk mengkomersilkan inovasi yang dihasilkan serta dapat menwujudkan potensi kerjasama antara universiti dan industri.

Source: Penyelidik UTHM bawa pulang 6 pingat di MTE 2016