Kehadiran kumpulan Tarian Singa yang bertemakan Tahun Baru Cina menggamatkan program Friday Night Fever Mobile Fiesta Carboot Sales UTHM 2016 (Siri 2) anjuran Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 26 Februari 2016 lalu bertempat di tapak letak kenderaan bersebelahan Padang Kawad UTHM.

Persembahan bertenaga kumpulan Tarian Singa tajaan Pengerusi Eksekutif Kepolisan Komuniti Batu Pahat, Dato’ Andy Lau itu telah menarik ramai pengunjung ke program yang diadakan buat kali kedua selepas Januari lalu.

Penganjuran kali ini melibatkan 181 peniaga mikro Carboot Sales dan 10 food truck yang menjual barangan terpakai, produk dan perkhidmatan, berbanding penyertaan Januari lalu yang hanya melibatkan 140 carboot sales dan 5 food truck.

Merujuk kepada soal selidik yang diedarkan, jumlah peniaga micro mobile ini dijangka akan bertambah dari bulan ke bulan memandangkan majoriti peniaga mikro di daerah ini semakin tertarik dengan konsep, tema dan pengisian yang diketengahkan oleh pihak penganjur.

Majlis turut diserikan dengan pelancaran lagu tema Night Fever yang pernah dipopularkan oleh kumpulan artis terkenal Bee Gees pada tahun 1970-an. Pelancaran lagu tema tersebut telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr Abd Razak Omar dan diperdengarkan secara live band oleh Kumpulan Alunan Kampus UTHM, pimpinan artis budaya dari Unit Kebudayaan UTHM, Encik Mohd Nazri Mohd Nawi. Lagu Night Fever tersebut akan dipersembahkan setiap bulan sebagai lagu tema program.

Turut hadir Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM); Encik Abd Hamid Yusof, Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat; Encik Halid  Saat, Setiausaha UMNO Bahagian Air Hitam; Tuan Haji Ja’afar Hashim, CEO REC Development Sdn Bhd; Encik Romzi Ithnin, Pengerusi MF Management; En Muhammad Rizaki Sarimin, Ahli EXCO Kepolisan Komuniti Batu Pahat; Tuan Shamsudin Jaafar dan Pengarah Program; Puan Anim Zalina Azizan.

Usaha PHUM untuk lebih dikenali sebagai ‘pembimbing peniaga mikro’ ini adalah demi menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha membangunkan ekonomi komuniti setempat dan juga pelajar-pelajar UTHM. Sokongan, bantuan dan kerjasama dari semua pihak seperti pihak NGO, staf dan pelajar UTHM, usahawan mobile dan masyarakat setempat amat diperlukan bagi menjayakan program ini.

Source: Kumpulan Tarian Singa gamatkan ‘Friday Night Fever Mobile Fiesta Carboot Sales UTHM 2016’