SEREMBAN – Seramai 40 alumniUniversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari pelbagai latar belakang merangkumi sektor dan komuniti alumni telah menyertai Bengkel Pelan Strategik Alumni 2016-2020 yang diadakan pada 26 hingga 28 Februari lalu bertempat di Bilik Seminar Sri Jati 4, Hotel Klana Resort, Seremban.

Alumni tersebut terdiri daripada Jawatankuasa Hubungan Alumni Fakulti, Sekretariat Alumni Mahasiswa UTHM (UTHMass), Ketua Hubungan Alumni Negeri, Wakil-wakil alumni sektor usahawan, industri dan swasta serta Persatuan Alumni UTHM (UTHMa). Bengkel anjuran Pusat Kemajuan Dan Hubungan Alumni (CARE) ini dilaksanakan bagi memberi ruang kepada alumni UTHM untuk menyumbang idea dan pandangan yang boleh dijadikan panduan universiti bagi membantu merangka Pelan Strategik Alumni untuk tempoh lima tahun bermula 2016-2020.

Penganjuran bengkel ini adalah sebagai satu platform kepada alumni untuk berkongsi ilmu dan kepakaran dalam merangka pelan strategik yang difokuskan oleh universiti agar lebih tersusun, bermatlamat, efektif dan produktif.

Menurut Pengarah CARE, Profesor Madya Dr. Adnan Zainorabidin bengkel ini bukan sahaja memberi peluang kepada alumni untuk berbakti semula kepada alma mater tetapi ia juga merapatkan hubungan universiti dan alumni seterusnya menjalin kerjasama erat selari dengan hasrat blueprint UTHM.

Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, beberapa aspek untuk mendukung dasar-dasar alumni telah diwujudkan dan ditambah baik melalui perkongsian idea, ilmu, pengalaman dan kepakaran sesama alumni.

Majlis Perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Dr. Asri Selamat selaku wakil rasmi Naib Canselor, UTHM.

Berucap pada majlis tersebut, beliau menyeru supaya aktiviti seperti ini akan sentiasa dilaksanakan oleh pihak universiti bersama alumni agar wujud satu kerjasama yang berterusan demi kemajuan alumni, pelajar dan universiti.

Source: Alumni sumbang idea dan kepakaran dalam Bengkel Pelan Strategik Alumni 2016-2020