Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Majlis Penyelaras Gabung NGO Melayu Negeri Johor (GABUNG) mencipta sejarah tersendiri apabila program Mega Mobile Fiesta Boot Sales UTHM 2015 yang diadakan pada 25 dan 26 Disember lalu berjaya tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Program yang mendapat kerjasama daripada Kumpulan Usahawan Mobile Fiesta (KUMF) dan beberapa agensi lain ini menggabungkan usahawan muda yang berniaga secara ‘Car Booth Sale’ di mana ia mengumpulkan seramai 579 peniaga seluruh negara sehingga berjaya dianugerahkan “Most Number of Vendors Participating in a Car Boot Sales Carnival.”

Penganjuran karnival ini adalah untuk menggalakkan masyarakat khususnya golongan muda menceburi bidang perniagaan di samping sebagai satu inisiatif kepada usahawan-usahawan yang mempunyai kiosk bergerak seperti kereta, van, lori kecil makanan dan motosikal untuk mendapatkan platform perniagaan bagi menjual barangan terpakai, produk dan perkhidmatan.

Majlis penutup yang diadakan pada 26 Disember lalu telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), UTHM Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Omar. Beliau dalam ucapannya berkata program mengumpulkan usahawan secara ‘Car Booth Sale’ ini bukan kali pertama diadakan di negeri ini, malah ianya telah diadakan beberapa kali sebelum ini. Namun pada kali ini ia adalah yang terbesar pernah diadakan di Malaysia.

“Dengan tercipta rekod MBOR yang pertama di negara ini, diharap ia mampu mempopularkan kaedah perniagaan seperti ini, yang mana ia sangat terkenal di negara luar,” katanya.
Hadir sama, Presiden Majlis Penyelaras Gabung, Zaini Atan; Pengerusi KUMF, Ja’affar Hashim; Penasihat Eksekutif CP Batu Pahat, Datuk Andy Low Leong Huat dan Penyelaras Program, Anim Zalina Azizan.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin turut mengunjungi tapak karnival serta beramah mesra dengan para usahawan yang mula berhimpun seawal 7.00 pagi bagi menjual pelbagai barangan dengan harga yang murah.

Karnival yang menarik ribuan pengunjung ini turut diserikan dengan acara sampingan seperti Forum Perdana dan majlis Khatam Al-Quran, Variasi Senamrobik, Sukan Rakyat, Pertandingan Mewarna, Persembahan Busker, Himpunan Kelab-kelab Kereta, Auto Show dan Motor Show dan juga Pameran daripada Agensi-agensi Kerajaan. ~ Technically Above The Rest

Source: Mega Mobile Fiesta Boot Sales UTHM 2015 cipta rekod dalam Malaysia Book of Record