Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencapai peningkatan yang membanggakan apabila berjaya memperolehi tiga bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA®) 2014.
Keputusan rasmi penarafan MyRA® telah diumumkan dalam Majlis Penganugerahan Watikah Penarafan Bintang MyRA® 2014 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 30 November 2015 bertempat di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya.
Delegasi UTHM telah diketuai oleh Profesor Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Profesor Dr. Rosziati Ibrahim, Dekan Pusat Penyelidikan & Pembangunan, Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC).
MyRA® merupakan suatu instrumen bagi mengukur aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (RDC&I) dalam Universiti-Universiti Awam & Swasta, Kampus-Kampus Cawangan dan Kolej-Kolej Universiti di Malaysia. Penarafan MyRA® adalah bagi mengukur pencapaian Institusi Pengajian Tinggi (HLIs) dalam RDC&I menerusi kriteria dan penandarasan yang telah ditetapkan mengikut setiap indikator.
Penilaian MyRA® adalah berdasarkan kepada tiga aspek utama iaitu input, proses dan output yang merangkumi lapan kriteria utama iaitu Kuantiti dan Kualiti Penyelidik, Kuantiti dan Kualiti Penyelidikan, Kuantiti Pascasiswazah, Kualiti Pascasiswazah, Inovasi, Perkhidmatan Profesional dan Hadiah, Rangkaian dan Jalinan serta Kemudahan Fasiliti.
Untuk rekod, penarafan bintang MyRA® telah diadakan bermula pada tahun 2012 dengan tujuan untuk menilai pencapaian IHLs dalam RDC&I pada tahun 2011. Penarafan ini diadakan secara tiga tahun sekali dan pada tahun 2015 telah genap tiga tahun untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan proses tersebut dengan menilai pencapaian bagi tahun 2014.
Bagi melaksanakan penilaian MyRA® untuk tahun 2014, ORICC telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan proses pengumpulan data pencapaian UTHM mengikut Glosari Pindaan Dua (2014) yang telah dikemaskini pada 10 Disember 2014 oleh KPM. Penilaian bagi penarafan bintang MyRA® melalui dua proses iaitu penilaian dokumen dan penilaian tapak. Proses penilaian dokumen telah dilaksanakan oleh pihak KPM pada 03 hingga 06 Mac 2015 berdasarkan data pencapaian UTHM yang dilengkapkan secara atas talian (eMyRA®), manakala sesi penilaian tapak (auditan) telah dijalankan di UTHM pada 27 hingga 28 April 2015.
Melihat kepada sejarah auditan tapak data MyRA® 2014 yang telah diadakan pada 27 hingga 28 April 2015 lalu, seramai lapan  Pegawai telah dilantik oleh pihak KPT. Mereka terdiri daripada lima Panel Penilai, satu Taskforce MyRA® dan dua Urusetia.
Kejayaan penarafan MyRA® tiga bintang ini merupakan suatu pencapaian yang amat baik berbanding pencapaian satu bintang pada tahun 2011. Kejayaan ini adalah hasil komitmen warga Universiti khususnya ORICC selaku Sekretariat MyRA® 2014 yang bersama-sama berganding bahu dengan Pusat Tanggungjawab (PTj) lain yang turut menyumbang kepada kejayaan pengumpulan data MyRA®  tahun 2014.

Source: UTHM raih Tiga Bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA®) 2014