Internet kian menjadi salah satu medium yang amat penting untuk komunikasi. Penggunaan internet dalam kalangan staf dan pelajar di Universiti telah menjadi rutin harian dalam melaksanakan pelbagai aktiviti terutamanya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu juga, konsep Bring Your Own Device (BYOD) yang telah diperkenalkan oleh Universiti membolehkan warga Universiti mendapat capaian internet yang mudah dengan menggunakan pelbagai peranti di dalam kampus.
Selaras dengan itu, Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyediakan kemudahan WiFi yang lengkap kepada semua pengunjung di Masjid Sultan Ibrahim, UTHM. Kemudahan ini disediakan bagi membolehkan staf dan pelajar mendapat capaian internet untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran serta perbincangan sekaligus dapat mengimarahkan masjid. Perkhidmatan ini juga boleh digunakan oleh masyarakat setempat yang berkunjung ke Masjid Sultan Ibrahim. Ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat Universiti terhadap masyarakat setempat.
Liputan WiFi ini merangkumi keseluruhan kawasan masjid iaitu di aras bawah, aras satu dan aras dua. Wireless Access point (WAP) diletakkan di aras bawah iaitu di ruangan rehat, ruangan pejabat, dewan jamuan dan dewan Al-Farabi manakala pada aras satu pula ditempatkan di ruangan solat utama dan ruangan solat luar.
Staf dan pelajar yang ingin menggunakan perkhidmatan WiFi perlu menghubungkan peranti dengan SSID “UTHM” manakala masyarakat setempat menggunakan SSID “UTHM-Guest”. Masyarakat setempat perlu mendaftar diri terlebih dahulu melalui sistem atas talian iaitu Guest-Self Registration sebelum dapat menggunakan perkhidmatan WiFi.
Diharap kemudahan ini mampu mempertingkatkan lagi potensi Masjid Sultan Ibrahim dalam mencapai fungsinya sebagai institusi perkembangan ilmu dan syiar islam disamping dapat mengekalkan kedudukan UTHM bertaraf lima bintang dari aspek penyediaan fasiliti dalam “QS Star University Rating”. ~ Technically Above The Rest

Source: Perkhidmatan WiFi di Masjid Sultan Ibrahim, UTHM