Institut Ahli Sunnah wal Jama’ah dengan kerjasama Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor telah mengadakan Syarahan Hikmah Ulama’ @ Universiti Siri 1 bertajuk ‘Krisis Paradigma Tauhid: Kegagalan Graduan Holistik!’ pada 19 November 2015 bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail (DTMI).
Syarahan telah disampaikan oleh Dato’ (Dr) Haji Nooh Gadot, Penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains (Pembangunan Insan) pada majlis Konvokesyen UTHM ke 15 lalu yang telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Johor iaitu Canselor UTHM. Beliau adalah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Penasihat Agama kepada DYMM Sultan Johor.
Dato’ Haji Noh dalam syarahan tersebut telah menghuraikan senario perkembangan kemajuan tamadun manusia kini dan hubungannya dengan peranan pendidikan khasnya pendidikan tinggi. Krisis kemanusiaan yang sering berlaku adalah berpunca daripada krisis nilai dan etika seperti yang disebutkan di dalam al-Quran surah al-Hadid ayat 52 yang bermaksud ‘telah terjadi kerosakan (al-fasad) di muka bumi ini adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia itu sendiri’.
Menurut beliau  manusia yang dimaksudkan oleh Allah itu adalah manusia yang tidak meletakkan nilai dan etika ketuhanan di dalam paradigma Tauhid minda profesionalisma mereka. Oleh itu krisis demi krisis akan terus berlaku sama ada di dunia timur atau barat  selagi manusia tidak kembali kepada asas paradigm tersebut.
Oleh itu tindakan UTHM meletakkan perkataan paradigmTauhid di dalam misinya adalah tindakan yang bijak bestari dan menepati maksud maqasid syariah. Maksudnya para graduan yang dikeluarkan akan mempunyai kualiti diri dan profesionalisma yang tinggi, kerana nilai seimbang,menyeluruh dan holistik yang dipandu oleh nilai ketuhanan di dalam kerangka paradigma Tauhid mereka. Kesan daripada kerangka ini akan melahirkan sifat integriti yang mantap ketika memikul setiap amanah kerana implikasi prinsip pengajaran ‘anda akan sentiasa diperhatikan’ oleh Allah menjadi asas di dalam prinsip paradigm Tauhid. Oleh itu beliau mengucapkan setinggi tahniah kepada kepimpinan UTHM khasnya Naib Canselor di atas tindakan cemerlang ini dan seharusnya menjadi contoh tauladan kepada universiti yang lain.
Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor yang diwakili oleh Profesor Dato Dr Abd Razak Hj Omar, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) dalam ucapannya menegaskan bahawa misi UTHM bersesuaian dengan kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-PPPM 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) terutama Lonjakan Pertama ‘Mewujudkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang’. Justeru keputusan UTHM untuk berkerjasama dengan MAIJ bagi menubuhkan Institut Ahli Sunnah Wal jamaah (IASWJ) merupakan keputusan yang berhikmah untuk kepentingan bersama.
Program ini telah disempurnakan oleh Haji Abd. Mutalib Haji Abd. Rahim, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor. Turut diadakan acara penyerahan dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara UTHM dengan MAIJ. Hadir sama, pegawai-pegawai utama universiti, para pensyarah dan pelajar, para pegawai kanan MAIJ dan Jabatan Agama Johor, guru agama, guru takmir, iman, pemimpin masyarakat dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

Source: Misi Universiti menepati kehendak Maqasid Syariah dan Lonjakan Pertama PPPM 2015-2025