Demi memartabatkan sukan tradisi, Pusat Sukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Bakat Baru dan Jemputan ASEAN UTHM – Majlis Belia Daerah Batu Pahat (MBDBP) 2015 Piala Timbalan Naib Canselor (HEPA) pada 28 November lalu bertempat di Dewan Badminton, kampus induk.

Bagi kategori jemputan ASEAN, penyertaan kejohanan ini melibatkan empat pasukan dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura manakala bagi kategori bakat baru pula disertai oleh 32 pasukan sekitar negeri johor meliputi daerah Batu Pahat, Kluang, Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Muar.

Objektif penganjuran kejohanan ini adalah untuk memupuk semangat cintakan sukan tradisi kepada mahasiswa UTHM dan masyarakat sekitar agar sentiasa diingati dan diamalkan sebagai satu warisan bangsa.

Selain itu kejohanan ini turut mencari bakat baru dalam kalangan mahasiswa UTHM dan belia setempat untuk dijadikan pelapis kepada kejohanan peringkat tertinggi akan datang seperti Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sepak Takraw League (STL).

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sepak Takraw telah disempurnakan oleh Encik Azli Puddin, Pengurus Pusat Sukan UTHM. Turut hadir Encik Mohd Farid Mohd Khalid, Pengerusi Majlis Belia Daerah Batu Pahat dan Encik Jasnizam Sami, Pegawai Belia dan Sukan UTHM. ~ Technically Above The Rest

Source: Kejohanan Sepak Takraw Piala Timbalan Naib Canselor (HEPA) pupuk semangat cintakan sukan tradisi