Graduan Holistik dan Cintakan Perpaduan fokus penganjuran FIESKOM 2015

Batu Pahat, 19 Dis – Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mengadakan Fiesta Kokurikulum Mahasiswa (FIESKOM) 2015 yang melibatkan penganjuran lebih 20 aktiviti pelajar bermula...
FIESKOM 2015
FIESKOM 2015

Batu Pahat, 19 Dis – Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mengadakan Fiesta Kokurikulum Mahasiswa (FIESKOM) 2015 yang melibatkan penganjuran lebih 20 aktiviti pelajar bermula 4 hingga 17 Disember lalu.

Perancangan dan pengurusan FIESKOM 2015 ini dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pusat Kokurikulum UTHM dengan pemantauan staf dan pengajar Pusat Kokurikulum UTHM. Penganjuran program ini bukan sahaja telah berjaya menarik penglibatan pelajar UTHM malah memberi peluang kepada komuniti sekitar UTHM termasuk penduduk orang asli dari Kampung Sejagong, Sri Medan, Batu Pahat untuk sama-sama turut serta.

Antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang dua minggu FIESKOM berlangsung ialah Perhimpunan Pagi dan Pertandingan Kawad Kaki badan beruniform UTHM, Klinik Tenpin, Klinik Golf, Pertandingan Taekwando dan Badminton, Malam Kebudayaan,‘Concert4Heart’, Ekspo & Vendor, Perkampungan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Khidmat Masyarakat Orang Asli, Konsert Univoice, Puisi Jalanan, The Adventurous Race, Kembara Sukarelawan dan banyak lagi. Kemeriahan FIESKOM 2015 turut dihangatkan dengan kehadiran artis terkenal tanahair, Adi Putra selaku Penaung Pertubuhan Kebajikan Kanser Johor Bahru (Johor-i-Care) di program Concert4Heart yang berlangsung pada 11 Disember lalu.

Secara umumnya, FIESKOM 2015 ini merupakan aktiviti kokurikulum bersepadu yang menggabungkan kesemua teras kokurikulum di UTHM. Berpegang kepada prinsip ‘Dari Pelajar kepada Pelajar untuk Pelajar’, penganjuran FIESKOM 2015 memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah (KI) mahasiswa UTHM yang majoritinya dari bidang teknikal dan kejuruteraan agar menjadi menjadi graduan yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan seperti yang terkandung di dalam lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025.

Turut menjadi fokus adalah aspirasi perpaduan bangsa yang cuba direalisasikan dalam setiap aktiviti bertujuan membina semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa selaras dengan tema penganjuran FIESKOM 2015 itu sendiri; “Kecemerlangan Kokurikulum Pemangkin Resolusi Perpaduan.”

Mengakhiri temasya tahunan Pusat Kokurikulum UTHM ini, satu Majlis Perasmian Penutup FIESKOM 2015 telah diadakan pada 17 Disember lalu bertempat di Dewan Sultan Ismail (DSI) UTHM. Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly sebagai wakil rasmi Naib Canselor UTHM. Turut hadir, Pegawai-pegawai Kanan Universiti, staf dan pengajar serta lebih 4000 pelajar KKB Pusat Kokurikulum UTHM.

Turut diadakan Perasmian Pelancaran Buku “Citra Kokurikulum” hasil karya staf Pusat Kokurikulum UTHM. Penulisan dan pengisian buku yang diolah berdasarkan integrasi penulisan akademik dan naratif kisah benar yang telah dilalui dan dirasai oleh para penulis ini diharapkan membawa impak yang signifikan dalam bidang kokurikulum dan masyarakat.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari tiga kursus kokurikulum yang memenangi Pertandingan Malam Kebudayaan yang diadakan pada 16 Disember lalu, selain upacara penyampaian Anugerah Pengajar Kokurikulum serta penyampaian hadiah kepada pelajar yang memenangi beberapa pertandingan sepanjang FIESKOM 2015 berlangsung.

Penganjuran FIESKOM 2015 ini menjadi contoh terbaik dalam menggalakkan lagi penganjuran program-program seumpamanya dalam usaha membangunkan jati diri mahasiswa yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan serta memahami kepentingan perpaduan bangsa dalam kalangan generasi muda di Negara ini.

Source: Graduan Holistik dan Cintakan Perpaduan fokus penganjuran FIESKOM 2015

Categories
Sukan

RELATED ARTICLE