PALAPES Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai perbarisan sempena Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Universiti Awam kali ke-34 yang berlangsung pada 15 Ogos lalu bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Istiadat tersebut menyaksikan seramai 1,628 Pegawai Kadet merangkumi 1,153 Pegawai Kadet Darat, 231 Pegawai Kadet Laut dan 244 Pegawai Kadet Udara telah ditauliahkan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj selaku Pegawai Muda dalam perkhidmatan Askar Wataniah yang berpangkat Leftenan Muda.
Majlis istiadat ini turut dihadiri oleh beberapa pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya Panglima Angkatan Tentera,Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Perbarisan ini telah disertai oleh 18 Universiti Awam termasuk Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang terdiri dari tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Majlis Istiadat ini mempunyai dua upacara rasmi iaitu perbarisan dan juga Majlis Kurniaan Watikah Tauliah oleh Tuanku Sultan yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.
PALAPES UTHM turut diberi penghormatan dengan kehadiran Kol (K) Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin selaku Komandan PALAPES UTHM, LT Kol (K) Profesor Dr. Hashim Saim selaku Timbalan Komandan dan Mej Mohamad Ali selaku Ketua Jurulatih (CI) PALAPES UTHM.
Dalam Perbarisan Istiadat Pentauliahan kali ini, PALAPES UTHM berada dalam detasmen ke 12 yang diketuai oleh Pegawai Kadet Terbaik Darat, Pegawai Rendah Muda Muhammad Syahiran Abd Sukor dari PALAPES Unversiti Putra Malaysia.
Bagi detasmen PALAPES UTHM pula, Pegawai Kadet Terbaik UTHM, Pegawai Rendah Muda Muhammad Syafiq Muzarpar telah diamanahkan mengetuai perbarisan PALAPES UTHM dengan kekuatan seramai 74 orang anggota. Detasmen PALAPES UTHM telah berjaya meraih tempat ke-7 dalam perbarisan keseluruhan kali ini.

Source: PALAPES UTHM sertai Istiadat Pentauliahan DiRaja PALAPES Universiti Awam ke-34