Satu Majlis Amanat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim bersama 11 orang pelajar yang akan mewakili Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke Program Mobiliti Berkredit Kokurikulum di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta, Indonesia telah diadakan pada 2 Ogos lalu.
Majlis yang berlangsung di Aras 5, Perpustakaan Tunku Tun Aminah turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum, Puan Hajah Sarebah Warman selaku Pegawai Pengiring bersama Mantan Pelajar yang telah mengikuti program yang sama pada tahun 2014 iaitu Mohamad Hamizan Mazlan.
Profesor Dr. Hashim dalam amanatnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar yang terpilih dan sekali gus menjadi ikon UTHM dan Malaysia dengan membawa imej dan perlakuan yang baik semasa menjalani program di sana. Hal ini kerana melalui tingkah laku, ia menggambarkan ciri-ciri pelajar universiti berkredibiliti sekaligus dapat menarik pelajar-pelajar dari Indonesia untuk datang ke Malaysia supaya program outbound dan inbound dapat dilaksanakan.
“Peserta juga perlu mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran serta memperbanyakkan minum air bagi mengelakkan berlakunya dehidrasi semasa berada di sana,” katanya.
Peluang yang diberikan selama 15 hari bermula 5 hingga 19 Ogos 2015 merupakan peluang yang perlu di manfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar untuk menimba ilmu dan mendalami konsep Kuliah Kerja Nyata.
Majlis berakhir dengan upacara simbolik penyerahan bendera Malaysia kepada Ketua Kontingen Mobiliti Berkredit Kokurikulum iaitu Saudara Mohd Haziq Mohd Deram.

Source: 11 Pelajar UTHM sertai Mobiliti Berkredit Kokurikulum di Universitas Gadjah Mada