Johor Baharu – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan Majlis Perasmian program khidmat masyarakat ‘University-Community Engagement’ (UCE) anjuran  Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 6 Jun lalu bertempat di Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor.
Program khidmat masyarakat melalui ‘University-Community Engagement’ (UCE) ini merupakan satu platform sosial untuk membina serta membentuk kualiti insan yang berjati diri, prihatin dan mempunyai semangat kekitaan. Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan dan memantapkan lagi kemahiran insaniah pelajar, merapatkan jurang antara pelajar dan masyarakat, di samping membuka peluang untuk pelajar menyumbangkan ilmu dan kemahiran untuk dimanfaatkan secara bersama.
Kira-kira 1000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Sambutan Ulangtahun Projek Rakan Komuniti ini yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Jun lalu. Turut hadir Profesor Dr Hashim Saim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Tuan Md Zaa’nal Misran, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Tuan Hj Sidek Jaafar dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Johor.
Pusat Kokurikulum turut berkerjasama bersama Pejabat Menteri Besar Johor, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Johor dalam menganjurkan program ini. Majlis perasmian tersebut juga menyaksikan Menteri Besar Johor merasmikan Kiosk Niaga yang diserahkan kepada Koperasi Taman Cendana dan Rumah Komuniti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, di samping turut melancarkan Buku Khidmat Komuniti Siswa UTHM.
3

Source: Menteri Besar Johor sempurnakan Progam Khidmat Masyarakat Rakan Komuniti UTHM