Batu Pahat – Kumpulan pakar dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membina “Tube Well” bagi membantu mendapatkan sumber bekalan air bersih di sekolah sekitar Gua Musang yang terjejas akibat banjir.
Pembinaan Tube Well atau dikenali sebagai telaga air tanah ini digunakan bagi membantu membekalkan  sumber air bawah tanah untuk kegunaan  pihak sekolah memandangkan bekalan air bersih di kawasan terbabit masih tergendala pada ketika ini. Pasukan FKAAS menggunakan satu alat khas bagi membantu mengesan struktur tanah di kawasan berhampiran sekolah sebelum menggunakan mesin gerudi  untuk mendapatkan bekalan air tersebut.
Pembinaan Tube Well di kawasan sekolah ini merupakan salah satu misi bantuan pasca banjir yang digerakkan di bawah Pusat Gerakan Bencana Alam UTHM yang mula beroperasi sejak 25 Disember lalu. Fokus misi ketiga bantuan kemanusiaan kali ini ialah melakukan kerja-kerja pembersihan di beberapa buah sekolah di daerah tersebut memandangkan sesi persekolahan bagi tahun 2015 akan bermula beberapa hari sahaja lagi.
Seramai 100 sukarelawan yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim ini mula melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Maahad Muhammadi sejak 6 Januari lalu. UTHM dalam rangka kerjanya akan terus menghantar tenaga sukarelawan bagi membantu  kerja-kerja pembersihan di sekolah dan juga premis kerajaan sehingga keadaan kembali pulih.
Bagi memudahkan segala urusan, pasukan UTHM turut membuat persediaan rapi dengan membawa peralatan lengkap bagi tujuan pembersihan termasuklah mesin pengepam air untuk menyedut air di sungai berhampiran ke kawasan sekolah yang dibersihkan.
Pergerakan konvoi sukarelawan ke Gua Musang kali ini mendapat kerjasama penuh daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang. Sebahagian barangan keperluan seperti makanan yang dibawa diserahkan kepada pusat pengumpulan IPD manakala selebihnya diserahkan secara terus kepada mangsa banjir.
Untuk rekod, Pusat Gerakan Bencana Alam UTHM yang beroperasi 24 jam sebelum ini telah mula menghantar bantuan kemanusiaan sejak 28 Disember lalu ke Kuala Lipis, Temerloh dan juga Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Orang ramai sekitar daerah Batu Pahat adalah dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir ini ke Pusat Gerakan Bencana Alam UTHM dengan menghubungi talian 07-4533442 (24 jam) atau emel opsbanjir@uthm.edu.my.

Source: UTHM bina “Tube Well” di Sekolah terlibat Banjir