Batu Pahat – Bagi meneruskan usaha membantu mangsa banjir, pelajar Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) bersama Kor Sukarelawan Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir di Pekan, Pahang pada 16 hingga 18 Januari lalu.
Misi yang melibatkan 80 sukarelawan kali ini menfokuskan kepada kerja-kerja pengasingan dan pengagihan barang-barang bantuan serta pembersihan kawasan sekolah, masjid dan klinik di daerah itu yang rosak teruk akibat banjir.
Misi yang turut disertai oleh anggota RELA daerah Pekan ini melibatkan beberapa lokasi seperti Sekolah Kebangsaan Temai, Masjid Jamek Mukim Temai, dan Klinik Desa Kampung Temai Tengah.
Selain kerja-kerja pembersihan, pasukan sukarelawan turut membantu mengasing dan mengagihkan barang-barang bantuan serta memberi khidmat nasihat dan sokongan moral kepada mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Temai, Encik Mohd Imeran Ibrahim berkata beliau pada awalnya mendapat arahan daripada Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menunda jadual persekolahan kepada satu tarikh lain sehingga bangunan sekolah yang terjejas kembali seperti sedia kala.
“Pihak kami amat berterima kasih kepada semua badan kerajaan, bukan kerajaan serta syarikat swasta yang turun membantu sehingga sekolah ini mampu memulakan sesi persekolahan seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.
Misi bantuan pasca banjir yang melibatkan sukarelawan RELASIS dan SUKSIS ini bukan sahaja dapat membantu mangsa banjir, malah telah merapatkan lagi hubungan antara pasukan sukarelawan yang lain terutamanya dengan RELA daerah Pekan. Bantuan kemanusiaan ini akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga keadaan kembali pulih.

Source: 80 Sukarelawan RELASIS dan SUKSIS sertai Misi Bantuan Pasca Banjir di Pekan, Pahang