Bagi memupuk semangat kesukanan dalam kalangan Pelajar, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Mekanikal (PPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan aktiviti “Larian UTHM iM Run” bertempat di sekitar kampus pada 29 November lalu sempena berlangsungnya Program International Mechyfest 2014.
Aktiviti larian yang berkonsepkan gaya hidup sihat ini disertai oleh kira-kira 200 orang pelajar dari pelbagai fakulti.  Dekan FKMP, Profesor Madya Dr. Yusri Yusof telah menyempurnakan upacara pelepasan larian iM Run ini dari Dewan Terbuka, UTHM. Sejurus pelepasan berlangsung beliau dan diiringi oleh beberapa staf FKMP turut berbasikal mengelilingi kawasan kampus untuk menyaksikan sendiri kesungguhan siswa dan siswi semasa larian berlangsung.
Sementara itu, majlis perasmian International Mechyfest 2014 turut berlangsung pada masa yang sama menandakan program ini telah bermula secara rasminya dalam tempoh sebulan bermula 8 November hingga 3 Disember lalu. Turut diadakan, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang larian kampus UTHM iM Run.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai pencapaian seimbang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi fizikal selaras dengan tema ‘International MechyFest 2014’ pada kali ini iaitu holistic sustainability.

Source: “UTHM iM Run” galak Mahasiwa amalkan Kecergasan