PASIR GUDANG : Seramai 29 orang pelajar Seksyen Empat kursus Khidmat Masyarakat,  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘University-Community Engagement (UCE)’ bertemakan “Minda Kreatif, Masyarakat Berpendidikan” di Taman Cendana, Pasir Gudang Johor pada 21 dan 22 November 2014 lalu.
Program UCE ini adalah aktiviti Kurikulum Berkredit di bawah Pusat Kokurikulum bagi kesinambungan projek jangka panjang selama dua tahun yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada 23 Mei 2014 yang lalu di Taman Cendana, Pasir Gudang Johor.
Bagi mencapai matlamat projek dalam menuju Taman Cendana ke arah pensijilan ISO 9001: 2008, elemen pendidikan telah ditekankan dalam program kali ini. Dalam mencapai hasrat mendapatkan pensijilan ISO, elemen pendidikan adalah di antara 10 elemen penting yang perlu diberi perhatian.
Matlamat utama program ini adalah untuk menerapkan elemen pendidikan dan memberi pendedahan terhadap kepentingan pendidikan kepada komuniti Taman Cendana di samping untuk mengeratkan lagi hubungan UTHM dengan masyarakat setempat.
Program selama dua hari satu malam ini dimulakan dengan sesi penyerahan anak angkat yang diketuai oleh Pengajar Khidmat Masyarakat Seksyen Empat, Dr. Khairunesa Hj. Isa kepada 14 buah keluarga angkat. Penyerahan anak angkat selama dua hari tersebut disusuli dengan sesi ramah mesra dan rewang antara para pelajar dengan penduduk Taman Cendana.
Perasmian program “Minda Kreatif, Masyarakat Berpendidikan” ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah Abd Rahman, Ketua WHIP Perbandaran Pasir Gudang Merangkap Timbalan  Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Majlis perasmian yang diadakan di perkarangan Masjid An-Nur Taman Cendana itu turut diselitkan dengan Majlis Khatam Al-Quran oleh anak-anak penduduk Taman Cendana dan diserikan lagi dengan Forum Kejiranan yang bertajuk “Jiran Teguh Perpaduan Ampuh”. Forum tersebut melibatkan duapanel iaitu Ustaz Mohd. Lotfi Solihin dari Fakulti Sains dan Teknologi Pengurusan Insan, UTHM dan Ustaz Mohd Azhar Samadun dari Pejabat Agama Islam Bahagian Pembangunan Keluarga manakala moderator forum pula Saudara Mohamad Zikri bin Haizan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UTHM.
Bertepatan dengan tema program UCE pelajar Seksyen 4 iaitu “Minda Kreatif, Masyarakat Berpendidikan” penekanan yang diberikan dalam forum turut menekankan kepentingan dan peranan ilmu dalam mewujudkan perpaduan yang ampuh dalam kalangan jiran. Kira-kira 500 orang penduduk Taman Cendana telah menghadiri majlis pada malam tersebut sekali gus membuktikan forum tersebut berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Program yang mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandangan Pasir Gudang, Johor Corperation, Jabatan Pembangunan Keluarga, Pejabat Agama Islam Negeri Johor, Ahli Jawatan Kuasa Masjid An-Nur Taman Cendana, Penduduk Taman Cendana, dan Pusat Kokurikulum UTHM ini turut diselitkan dengan acara penyerahan buku kepada Muhammad Izat Mohd Said, Imam Masjid An-Nur Taman Cendana dan Tuan Haji Jaafar Samad, Pengerusi Masjid An-Nur Taman Cendana sebagai simbolik mewujudkan mini library di Masjid An-Nur Taman Cendana.
Turut diadakan slot mentor mentee berkonsepkan transfer knowledge melalui kaedah aplikasi pengetahuan dari teori kepada praktikal. Slot yang dikelolakan oleh pelajar Khidmat Masyarakat ini melibatkan empat modul, khusus untuk tiga peringkat umur iaitu kanak-kanak, remaja dan juga dewasa.
Sesi penyerahan semula anak-anak angkat kepada UTHM telah dilaksanakan oleh Tuan Haji Omar Salleh selaku ahli Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Pengerusi Taman Cendana, Encik Shamsul Bahrin kepada pengarah program, saudara Danieal Asyraf Zakaria.