Empat buah sekolah kluster sekitar negeri Johor telah menyertai program “Jalinan UTHM Bersama Sekolah Kluster” anjuran Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 25 Ogos lalu.
Program khidmat masyarakat dengan kerjasama Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat, UTHM ini melibatkan penyertaan seramai 80 pelajar tingkatan empat beserta lapan guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Segamat, Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Bandar Penawar, Sekolah Menengah (P) Sultan Abu Bakar, Muar, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra, Kulaijaya.
Program anjuran FSTPi ini merupakan salah satu bentuk sumbangan UTHM kepada masyarakat sekitar selaras dengan fungsi penubuhannya iaitu untuk menyediakan pelbagai aktiviti bercorak kemasyarakatan demi melahirkan individu yang lebih berilmu dan berakhlak mulia.
Penganjuran program ini juga bertujuan untuk memberi lebih pendedahan dan peluang kepada staf fakulti untuk lebih mendekati masyarakat sekeliling. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mempromosi UTHM kepada masyarakat luar terutama kepada para pelajar dari sekolah kluster yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda.
Program diisi dengan aktiviti ceramah yang bertajuk “Aplikasi Matematik dalam Kehidupan Seharian”, “pembelajaran kepada pengenalan perisian matematik Matcad dan Maple” dan aktiviti berkumpulan bertajuk “Program Regrasi Matematik”. Pelajar turut dibawa melawat ke makmal-makmal Matematik untuk membolehkan mereka mempelajari sesuatu yang baru sekali gus berupaya menarik minat mereka terhadap subjek matematik ini.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Hj. Omar. Turut hadir, Ketua Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat, Encik Rosmahalil Azrol Abdullah; Timbalan Dekan (Pengajian Umum), Puan Robijah Kamarulzaman; Ketua Jabatan Matematik dan Statistik, Dr. Nor Shamsidah Amir Hamzah dan Ketua Program, Dr. Maselan Ali serta staf-staf akademik dan sokongan dari Jabatan Matematik dan Statistik.