Bagi mengeratkan lagi hubungan antara Warga Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),satu Majlis Jamuan Raya tahunan SISPA telah diadakan pada 7 Ogos lalu serentak dengan Majlis Penyampaian Amanat kepada peserta Kontigen.
Komandan SISPA UTHM, PPJ Kehormat Profesor Wahid Razzaly menyampaikan beberapa amanat dalam majlis  yang dihadiri oleh 10 orang Pegawai  Bersekutu SISPA UTHM, tiga jurulatih, empat  ASTP  serta 80 pelajar. Turut hadir, Lt. Kol. (PA) Rohaizat Hadli, Timbalan Pengarah JPAM Johor selaku wakil rasmi Pengarah JPAM Johor.
Beliau dalam ucapannya turut memaklumkan bahawa Majlis Perhimpunan dan Pentauliahan Kor Sispa Kali ke 5 akan berlangsung mulai 16 hingga 19 Ogos 2014 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau turut merakamkan penghargaannya kepada peserta Kontigen Pertandingan Kemahiran dan Bakal Pegawai Tauliah yang selama ini bertungkus lumus mengikuti latihan serta sentiasa komited menyertai setiap pertandingan yang dianjurkan.
Bagaimanapun untuk perhimpunan dan Pentauliahan kali ini, beliau berharap Pegawai Bersekutu SISPA UTHM, jurulatih dan para peserta dapat berusaha dengan lebih keras lagi bagi meraih kejayaan setiap kategori yang dipertandingkan.