90 orang pelajar kurang bernasib baik menerima sumbangan baju raya daripada pasukan Projek Khidmat Komuniti Alumni 2014, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Ramadan lalu.
Sumbangan baju raya yang bertemakan “Sehelai baju buat menyapu si air mata” (SBBMSAM) tersebut melibatkan para pelajar dari empat buah sekolah iaitu Maahad Tahfiz Sains Fatimah AzZahrah, Gombak; Sekolah Menengah Kebangsaan Majidi Baru 2, Johor Bahru; Sekolah Agama Simpang Renggam dan Sekolah Kebangsaan Seri Kemajuan, Batu Pahat.
Khidmat komuniti di bawah Persatuan Alumni UTHM (UTHMA) yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim ini merupakan projek kerjasama dengan Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor dan Pusat Kemajuan dan Hubungan Alumni (CARE), UTHM.
Projek Khidmat Komuniti 2014 edisi kelima yang bermula pada 18 hingga 23 Julai ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang digerakkan secara bersama bagi membantu pelajar dalam kalangan anak-anak yatim dan pelajar fakir/miskin memiliki sekurang-kurangnya sehelai baju baharu untuk berhari raya. Kos pembelian baju baharu telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia selain oleh wakil pasukan SBBMSAM di setiap negeri dan dikumpulkan di Pusat Pengumpulan Utama iaitu di rumah Pengasasnya Encik Ahmad Saabun.
Untuk rekod, Khidmat Komuniti UTHMA yang diselaraskan oleh wakil pasukan SBBMSAM Johor, Encik Ahmad Zulfadhli Jusoh dan Encik Shafry Salim selaku penyelaras bersama bergiat aktif di negeri Johor sejak edisi pertama ia dilaksanakan. UTHMA adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri dan merupakan pertubuhan rasmi yang menaungi keseluruhan Alumni UTHM yang kini telah melebihi 20 000 orang.