“Sebaran Kasih 2014” bukti Keprihatinan Warga UTHM

Bagi melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Program “Sebaran Kasih 2014” telah menghulurkan beberapa sumbangan kepada masyarakat...
sebaran kasih
Bagi melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Program “Sebaran Kasih 2014” telah menghulurkan beberapa sumbangan kepada masyarakat sekitar negeri Johor, Kedah dan Pahang bermula 11 Mei hingga 23 Julai lalu.
Program “Sebaran Kasih 2014” dengan kerjasama Kelab Rekreasi dan Kebajikan Staf FKMP (MECHCLUB), Pejabat Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) dan Persatuan Pensyarah dan Pengajar UTHM (PERKASA) ini merupakan program kali kedua dianjurkan setelah mendapat sambutan yang menggalakkan pada tahun sebelumnya. Program ini diadakan bertujuan untuk mendekati, membantu dan mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan serta memerlukan bantuan dan sokongan orang ramai.
Seawal bulan Mei lagi urus setia program iaitu FKMP Bikers mula berkonvoi ke beberapa tempat seperti ke Rumah Anak Yatim Nur Hidayah Baling, Kedah dan Rumah Anak Yatim Kuala Lipis, Pahang bagi meninjau dan mengenal pasti bentuk sumbangan yang diperlukan oleh komuniti sasaran.
Bertemakan “Kasih Ramadhan dan Inisiatif Wakaf”, program Sebaran Kasih turut dilaksanakan di beberapa kawasan sekitar Batu Pahat. Aktiviti ziarah dan pengagihan beberapa bentuk sumbangan yang melibatkan hampir 60 buah rumah serta 10 masjid dan surau sekitar Parit Raja, Ayer Hitam, Parit Yaani, Parit Besar, Bindu dan Pancor turut diadakan. Aktiviti ziarah yang diketuai Dekan FKMP, Profesor Madya Dr. Yusri Yusof ini diadakan setiap hari Khamis, empat minggu berturut-turut sepanjang bulan Ramadan. Turut diadakan aktiviti “Yok Monjong”  iaitu aktiviti mengagihkan makanan, wang sumbangan dan keperluan harian kepada golongan fakir miskin, kurang berkemampuan dan mangsa bencana.
Kemuncak program ini menyaksikan penganjuran majlis Iftar Perdana yang melibatkan hampir 700 golongan fakir, warga emas, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), pelajar kurang berkemampuan, anak yatim, serta mualaf sekitar daerah Batu Pahat. Majlis yang diadakan pada 17 Julai baru-baru ini telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM.
UTHM sentiasa berusaha menganjurkan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada seluruh warga universiti serta masyarakat sekitarnya. Penekanan terhadap keperluan melaksanakan tanggungjawab sosial turut diterapkan dalam kalangan staf dan para pelajarnya. Setiap tahun UTHM akan merancang dan melaksanakan seberapa banyak aktiviti sosial yang membabitkan  masyarakat. Usaha ini diharap dapat membawa kebaikan antara satu sama lain di samping dapat merapatkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin.
sebaran kasih
Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE