Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mula menawarkan kursus berteraskan Liberal Arts pada Februari 2014 sebaik bermula semester 2 bagi sesi pengajian 2013/2014. Penawaran kursus kokurikulum tersebut telah memberi lebih pilihan kepada pelajar UTHM untuk mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit selain daripada kursus yang berteraskan Keusahawanan, Kepimpinan, Kesukarelawanan, Daya Usaha dan Inovatif, Kebudayaan, Sukan dan Pengucapan Awam.

Idea memperkenalkan kursus kokurikulum berteraskan Liberal Arts dicetuskan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Beliau berpendapat kursus berteraskan Liberal Arts dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan pelajar seimbang daripadas segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial  terutamanya apabila program di UTHM kebanyakannya berteraskan disiplin kejuruteraan.

Kementerian Pendidikan sebelum ini turut merangka memperkenalkan pengajian ilmu liberal sebagai sebahagian modul di universiti tempatan, selaras pelaksanaan Pelan Pembangunan Pengajian Tinggi 2015-2025. Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memperkasa pengetahuan pelajar dalam bidang kemanusiaan dan sosial, sekali gus mengimbangi pengajian sains dan teknologi di peringkat insitusi pengajian tinggi (IPT). Ilmu liberal ini memberi pengetahuan lebih meluas dalam pelbagai bidang seperti alam sekitar, sosial dan kemanusiaan, selain sejarah, agama dan seni.

Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM, Profesor Madya Dr Ahmad Esa, antara kursus kokurikulum berteraskan Liberal Arts yang ditawarkan ialah Sains Politik, Pendidikan Wanita, Sukan dan Kecerdasan, Kewartawanan dan Kekeluargaan. Pusat Kokurikulum UTHM juga sedang menggubal kursus berkaitan Alam Sekitar, Budaya dan Ekonomi Antarabangsa.

Daripada segi perlaksanaan, kokurikulum Liberal Arts adalah berlainan dengan kursus kokurikulum yang lain. Strategi pengajaran adalah melalui ceramah perdana yang disampaikan oleh tokoh-tokoh berwibawa dalam  bidang seni, budaya, sukan, politik, kewartawanan dan kekeluargaan. Pelajar seterusnya diminta untuk melaksanakan kajian dan penerokaan lanjut, membuat pemerhatian dan temu bual, menyelesaikan kajian kes, mengadakan diskusi dalam kumpulan kecil, menyedia dan membentang laporan.

Berdasarkan strategi pengajaran sedemikian rupa, pelajar akan memperoleh ilmu, kemahiran dan pengalaman yang berkaitan dengan kemanusiaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Oleh itu, falsafah kokurikulum adalah pelengkap kepada kurikulum dalam menghasilkan pelajar wassatiyah dapat dijelmakan menjadi realiti.

Sehubungan dengan cadangan memperkenalkan pengajian ilmu liberal  atau liberal Arts di universiti tempatan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Zaini Ujang, UTHM menyambutnya dengan keyakinan positif bahawa kursus tersebut dapat memenuhi pengisian Pelan Pembangunan Pengajian Tinggi 2015-2025 sekaligus menghasilkan modal insan kelas pertama untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan negara dan antarabangsa.

prof_madya_dr_ahmad_esa