Encik Abdul Halim Abdul Rahman telah dilantik ke jawatan Pendaftar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu berkuatkuasa pada 22 Mei 2014 bagi menggantikan Encik Sulam Hamid yang telah  bersara dari perkhidmatannya.
Encik Abdul Halim sebelum ini merupakan Timbalan Pendaftar Kanan di Pejabat Pengurusan Akademik, UTHM. Mengimbas perjalanan karier beliau, Encik Abdul Halim memulakan perkhidmatannya di UTHM pada tahun 2001 sebagai Timbalan Pendaftar setelah menamatkan perkhidmatannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pada tahun 2006 pula beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pendaftar Kanan (N52) dan pernah menanggung tugas Pendaftar UTHM pada 2005 selama lapan bulan sebelum dipinjamkan ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada awal tahun 2010 sebagai Pendaftar. Bagai sirih pulang ke gagang, akhirnya pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari University of Waikato, New Zealand ini kembali semula berkhidmat di UTHM pada awal tahun 2012 sehinggalah baru-baru ini dilantik sebagai Pendaftar UTHM. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai sumbangan telah diberikan kepada universiti sehingga melayakkan beliau menerima beberapa anugerah seperti Anugerah Khidmat Cemerlang tahun 1998 dan 2001 serta  Anugerah Gemilang Universiti 2010 oleh UMK.
Encik Abdul Halim ketika ditemubual berkata beliau melihat bahawa  pelantikan ini merupakan satu tugas besar yang perlu digalas oleh beliau. Bagaimanapun beliau bertekad untuk membawa beberapa pembaharuan kepada UTHM khususnya dalam bidang perkhidmatan demi menaikkan lagi imej universiti  ini.
“Saya mungkin tidak mampu untuk melakukannya seorang diri tetapi dengan sokongan semua pihak kita boleh berganding bahu melaksanakan semua perkara yang telah dirancang demi memastikan matlamat tercapai,” katanya.
Sementara itu, UTHM juga turut merasa kehilangan seorang staf yang telah banyak menabur jasa kepada universiti iaitu Encik Sulam Hamid, Pendaftar UTHM yang baru sahaja bersara wajib pada tanggal  21 Mei lalu. Encik Sulam, pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini mula berkhidmat sebagai Timbalan Pendaftar di UTHM pada Jun 2003 dengan berstatuskan Pinjaman kerana sebelumnya beliau merupakan staf tetap di Pejabat Tanah dan Galian, Melaka. Beliau mula dilantik sebagai Pendaftar secara Pinjaman pada tanggal 16 Mac 2006 sehinggalah dinaikkan ke Jawatan Pendaftar (N54) berstatus tetap pada 15 Mac 2008. Kehilangan beliau sangat dirasai oleh seluruh warga universiti kerana sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau merupakan seorang staf yang berdedikasi dan amat disenangi  kerana sikap mudah mesra dan tidak lokek ilmu yang ditunjukkannya.
Semoga dengan pelantikan baharu ini, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dapat membawa beberapa transformasi untuk tujuan menambaik tadbir urus dan perkhidmatan yang sedia ada. Tahniah diucapkan kepada beliau.
halim