Demi memartabatkan warisan bangsa seni silat cekak di negara ini, Kelab Seni Silat Cekak Malaysia (KSSCM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) cawangan Johor telah menganjurkan Kursus Tenaga Pengajar Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Zon Selatan 2014 pada 5 hingga 6 April baru-baru ini.

Kursus yang juga mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Johor, PSSCM cawangan Melaka dan Negeri Sembilan ini diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada peserta kursus mengenai kepentingan seni pusaka warisan bangsa yang berperanan membentuk peribadi mulia melayu muslim dan membina keyakinan diri untuk menghadapi cabaran masa kini.

Kursus yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim ini mendapat penyertaan seramai 200 orang ahli yang datang dari negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Kursus turut dijayakan dengan kekuatan enam puluh orang ahli KSSCM UTHM yang terdiri daripada para pelajar yang bertindak selaku jawatankuasa pelaksana program yang dipimpin oleh Penasihatnya, Muhammad Shahrin Haron, Pegawai Kebudayaan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P).

Penganjuran kursus ini di UTHM telah berjaya menarik perhatian Yang Berhormat Datuk Zulkurnain Hj. Kamisan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor untuk hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung pada 6 April lalu.
Majlis diserikan dengan beberapa acara seperti selawat, paluan kompang, deklamasi puisi daripada Kumpulan Aktivis Pemuisi dan Dramatis UTHM serta persembahan Zikir Terapi daripada artis undangan, Hafiz Hamidun.

Turut hadir, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM; Profesor Madya AR. Dr. Haji Ab Majid Ismail, Naib Presiden II PSSCM selaku wakil rasmi Presiden PSSCM, serta Ahli Ahli lembaga Pelajaran dan Tatatertib PSSCM.

Dalam majlis tersebut, Yang Berhormat Datuk Zulkurnain Hj. Kamisan turut menyampaikan sijil dan cenderamata kenangan kepada lima orang pelajar UTHM yang merupakan ahli KSSCM UTHM yang diiktiraf selaku tenaga pengajar Seni Silat Cekak Malaysia. Beliau turut menyatakan sokongan padunya terhadap bidang seni ini dan akan turut memberi dana untuk melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan jika jumlah ahlinya semakin bertambah.

Tahniah dan Syabas kepada Kelab Seni Silat Cekak Malaysia UTHM kerana berjaya melaksanakan program dan mengharumkan nama universiti dengan sokongan padu kerajaan negeri Johor demi memperkasakan seni warisan bangsa.

cekak