Karnival Sukan Air MASUM 2014 yang telah berlangsung pada 7 hingga 12 April 2014 bertempat di Kompleks Sukan Air Presint 6 Putrajaya menyaksikan Pasukan UTHM berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya membawa pulang dua Trofi Juara Keseluruhan Rowing Lelaki dan Wanita 2014.

Ini merupakan kali ketiga buat Pasukan UTHM muncul juara berganda setelah berjaya melakukannya pada tahun 2009 dan 2011 sejak pertama kali menyertai sukan rowing pada tahun 2008. Semangat dan perjuangan para atlit UTHM Paddlers dalam Sukan MASUM Rowing dan Kayak 2014 menjadi tunggak utama kejayaan Pasukan Rowing UTHM apabila berjaya membawa pulang semua pingat yang dipertandingkan bagi kategori rowing lelaki dan wanita. Pasukan UTHM telah berjaya membawa pulang lima pingat emas lima perak dan dua gangsa. Bagi acara Kayak Pasukan UTHM juga tidak menghampakan apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa daripada lapan acara yang dipertandingkan.

Latihan sepanjang tahun dan pengorbanan sebagai seorang mahasiswa universiti adalah cabaran utama bagi atlit UTHM yang bergiat aktif dalam bidang sukan. Namun ia bukanlah penghalang kepada Pasukan UTHM Paddlers untuk muncul sebagai juara dengan tekad dan semangat “I’M Gold Medalist” sebagai kata-kata keramat yang terapkan dalam setiap atlit UTHM yang bertanding dalam kejohanan Sukan MASUM kali ini.

Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada pasukan-pasukan UTHM untuk meraih kejayaan dalam bidang sukan serta meletakkan nama UTHM antara IPT yang cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Disediakan oleh :
Shaid Jaffar