Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini telah meraih empat pingat emas dan dua Anugerah Khas ketika menyertai pameran Malaysia Technology Expo 2014 (MTE) yang diadakan pada 20 hingga 22 Februari lalu bertempat di Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur.

Satu pingat emas dan Anugerah Khas diperolehi melalui produk penyelidikan Profesor Dr. Mohd Zarar Mohd. Jenu. Manakala tiga pingat emas lagi diraih melalui hasil penyelidikan pasukan penyelidik iaitu Dr. Amir Khalid, Dr. Mohamad Zamani Ngali dan  Puan Noor Khazanah A Rahman.

Anugerah Khas juga diperolehi melalui hasil kalian dari kumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) iaitu Smart Recycle Bin.

Pameran MTE yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ini merupakan platform pameran dan pertandingan penyelidikan dan inovasi produk universiti peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Malaysian Associations of Research Scientists (MARS) dan Protemp Sdn. Bhd.

Pameran ini dianjurkan setiap tahun bagi mempromosi produk penyelidikan universiti kepada pihak industri dan mengadakan pertandingan sebagai pengiktirafan industri terhadap produk penyelidikan tempatan.

Sebanyak lebih 400 produk telah dipertandingkan sepanjang pameran ini berlangsung yang juga melibatkan penyertaan dari sekolah menengah hinggalah ke penyertaan luar negara.

Sesi penilaian produk telah diadakan pada hari pertama pameran berlangsung dengan melibatkan beberapa panel penilai mengikut kategori masing-masing. Booth UTHM mendekati umum dengan menerang dan mengedarkan pelbagai maklumat mengenai penyelidikan yang ada serta kepakaran yang dimiliki oleh universiti ini.

UTHM mengucapkan syabas dan tahniah diatas pencapaian yang diterima oleh penyelidik-penyelidik ini.

9