Bagi meninjau Konsep Kuliah Kerja Nyata (KKN) dengan lebih mendalam, Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan satu program mobiliti pengajar Khidmat Masyarakat ke Universitas Negeri Yogjakarta dan Universitas Gadjah Mada, Indonesia pada 26 Februari hingga 3 Mac lalu.

Program ini adalah bertujuan untuk mendalami pelaksanaan Kuliah Kerja Nyata (KKN) yang telah dijalankan di kedua-dua Universiti tersebut untuk diterapkan ke dalam kursus khidmat masyarakat yang ditawarkan oleh Pusat Kokurikulum, UTHM.

Kursus KKN yang menekankan kemahiran insaniah pelajar ini mula diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Universitas Gajah Mada. Kursus yang melibatkan tiga jam kredit ini dijadikan kursus wajib yang perlu diambil pada setiap semester akhir pengajian. Kursus ini menuntut pelajar untuk bersama komuniti selama dua bulan bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan mengikut tema tertentu seperti keusahawanan, kebudayaan, pendidikan dan sosial. Di akhir kursus, pelajar perlu mendokumenkan segala pengalaman mereka dalam bentuk penulisan, gambar dan juga video untuk penilaian.

Program mobiliti pengajar kali pertama yang diadakan ini diwakili oleh Pusat Kokurikulum Puan Sarebah Warman dan Dr. Marlina Muhamad dari Pusat Kokurikulum. Kehadiran kedua-dua tenaga pengajar ini disambut dengan taklimat oleh wakil kedua- dua universiti tersebut iaitu Bapak Triatmanto, Ketua Pusat Pengelolaan KKN dan Pengembangan Wilayah Terpadu dari Universiti Negara Yogjakarta dan Dr. Irfan Dwidya Prijambada, Timbalan Ketua Kuliah Kerja Nyata dari Universiti Gajah Mada.

Sepanjang program ini, wakil UTHM telah dibawa melawat lokasi aktiviti KKN yang sedang dijalankan iaitu di Desa Gading Sari, Bantul, Indonesia. Lebih menarik lagi, mereka juga berpeluang melihat dua hasil kerja KKN di kawasan Gunung Kidul yang telah diselesaikan pada tahun 2010 tetapi impaknya masih terus dinikmati oleh penduduk desa di kawasan Gunung Kidul, Indonesia.

Projek KKN yang telah dijalankan di kawasan tersebut adalah projek sistem pengairan ke rumah-rumah penduduk dari punca sumber air sungai yang dijana menggunakan sistem solar dan  projek sistem pengairan dari punca bawah  tanah yang dijana menggunakan sistem elektrik. Di samping itu, mereka juga berpeluang melawat hasil projek pendidikan KKN yang melibatkan pengurusan sebuah rumah yang telah dijadikan sebagai pusat pembelajaran bagi desa tersebut.

Hasil  dari program mobiliti  ini, wakil UTHM  telah  mendapat  sedikit sebanyak pendedahan dalam pelaksanaan KKN  di Indonesia. Ianya diharap dapat memberi input yang bermanfaat terhadap pelaksanaan kursus Khidmat Masyarakat di UTHM.

jogjakarta_2 045jogjakarta_2 099
Pusat Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia