EMCenter berjaya dengan produk “Integrated Electromagnetic Alert System Using Multiband Detector” di MTE 2014Produk buatan Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan atau EMCenter (dulunya Pusat Keserasian Elektromagnet, EMCcenter)  yang diberi nama “Integrated Electromagnetic Alert System Using Multiband Detector” telah memenangi Pingat Emas dan Anugerah Khas dalam 2014 Malaysian Technology Expo (MTE 2014) yang telah berlangsung di Putra World Trade Center (PWTC) dari 20 hingga 22 Februari 2014.Produk tersebut berfungsi untuk mengesan tahap medan elektrik pada frekuensi 900 MHz, 1800 MHz dan 2100 MHz dan membandingkan nya dengan had yang telah ditetapkan oleh International Committee of Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP). Had medan elektrik yang dikeluarkan oleh ICNIRP adalah tahap bahaya yang memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan manusia. Indikator yang terdapat pada produk tersebut memberi tanda amaran warna merah jika medan elektrik telah melampaui had ICNIRP tersebut. Produk tersebut boleh dipasang di pelbagai lokasi dan status indikator boleh dipantau secara jarak jauh menggunakan perisian yang dibangunkan. Aplikasi produk ini adalah di lokasi sensitif dan kritikal seperti  rumah kediaman, sekolah, hospital, stesyen janakuasa elektrik,  pemancar telefon mudah alih dan infrastruktur yang mempunyai radar seperti lapangan terbang dan kapal perang.

Kejayaan produk ini mendapat Anugerah Khas adalah kerana sumbangan nya dalam menangani isu pencemaran alam sekitar yang tidak mudah dikesan kerana tidak dapat dilihat, dirasa dan dibau iaitu pencemaran elektromagnet (electromagnetic pollution). Produk ini telah dipatenkan dan proses pengkomersilan produk ini sedang dijalankan dengan bantuan ORICC dan sebuah syarikat teknologi .  Sesiapa yang berminat untuk mengetahu lebih lanjut mengenai produk ini bolehlah berhubung dengan EMCenter di 07-4538501 atau emel zarar@uthm.edu.my.