Kecemerlangan sesebuah organisasi bergantung kepada kemampuan pemimpin dan pengikut merencana suatu perancangan yang terbaik untuk manfaat seluruh komuniti. Kursus pengurusan dan pemantapan organisasi serta kursus “team building” telah dilalui secara berturutan dalam tempoh seminggu membuatkan kesatuan yang lebih jitu terbentuk di kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM tahun 2013/2014.
Suria City Hotel Johor Bahru, Johor menjadi lokasi bersejarah buat MPP UTHM tahun 2013/2014 pada 28 hingga 30 Januari 2014 dengan mencatatkan sebuah dokumen lengkap Sasaran Kerja Tahunan (SKT) 2014 MPP UTHM 2013/2014 berjaya dihasilkan. Usaha seumpama ini merupakan julung kalinya dilaksanakan menggunakan format kualiti UTHM dengan bimbingan Engr. Ahmad Zulfadli Jusoh yang bertindak sebagai Penasihat MPP UTHM.
“MPP UTHM pada kali ini menetapkan halatuju, Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan dan Menambahbaik Sistem Pengurusan Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar berasaskan empat teras objektif strategik iaitu akademik, kebajikan mahasiswa, pembangunan mahasiswa dan tanggungjawab sosial”, kata Muhammad Nur Hakim Nordin, Yang Dipertua MPP UTHM tahun 2013/2014 sebaik membacakan resolusi SKT 2014. Beliau turut menyebut tentang usaha MPP untuk berfungsi secara optimum dengan hasrat mendahulukan mahasiswa, mengutamakan universiti.
Bengkel diakhiri dengan sesi khas, motivasi kepemimpinan dan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan II, Dato’ Hj. Abdul Halim Jusoh. Pengalaman kerjaya beliau sebagai pensayarah universiti, jurutera dan rakan kongsi kontraktor dikongsi sebagai panduan dan catatan pencapaian yang boleh dijejaki oleh MPP UTHM. “MPP sebagai pertubuhan tertinggi universiti seharusnya berperanan untuk mengharmonikan kampus, menjalankan program yang berobjektif dan memupuk semangat sayangkan universiti kepada seluruh warga kampus,” pesan beliau yang juga merupakan mantan ADUN Permaisuri, Terengganu.
Majlis penutupan tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (HEP dan Alumni), Prof. Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim; Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Abd. Hamid Yusof dan En. Azlan Wanti selaku Penyelaras MPP UTHM. Mereka turut melahirkan rasa kebanggaan di atas kesungguhan dan semangat kerja pasukan yang ditunjukkan dan diharapkan dapat terus memacu kegemilangan selari dengan Visi dan Misi universiti.