Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi telah berjaya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (ICME2013) pada 17 hingga 18 Disember 2014 bertempat di Hotel Equatorial, Bangi Putrajaya.

Persidangan kali ke empat yang bertemakan “Penyelesaian Innovatif bagi Kejuruteraan Lestari” ini telah melibatkan pembentangan sebanyak 251 kertas kerja dari pelbagai negara. Kesemua kertas kerja tersebut telah dinilai oleh Scopus dan beberapa pengkalan data penerbitan lain sebelum diterbitkan dalam “Applied Mechanics and Materials (ISSN:1660-9336). Manakala setiap peserta persidangan pula berpeluang memiliki buku penerbitan bercetak ini semasa persidangan berlangsung.

Turut berlangsung upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama pihak industri iaitu MPIB dan Halton serta pelancaran buku ‘Coffee Table’ FKMP yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri (Dr) Ir. Jamilus Md. Hussain. Upacara tersebut turut disaksikan oleh Naib Canselor UTHM, Professor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin bersama Dekan FKMP, Professor Madya Dr. Yusri Yusuf serta pengerusi ICME2013, Professor Madya Dr Md Saidin Wahab.

Di samping itu, majlis perasmian tersebut turut diselitkan dengan satu sesi ceramah yang dikelolakan oleh penceramah jemputan iaitu Prof. Ir. Dr. Hj. Abdul Rahman Omar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).