UTHM – Industri Aeronautik perkukuh hubungan kerjasama

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah menganjurkan Majlis Penghargaan dan Makan Malam bersama Industri Aeronautik (Aviation Industry Appreciation Night) yang telah...
uthm-flight

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah menganjurkan Majlis Penghargaan dan Makan Malam bersama Industri Aeronautik (Aviation Industry Appreciation Night) yang telah diadakan baru-baru ini bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Tetamu-tetamu yang telah sama-sama memeriahkan majlis ini terdiri dari pegawai-pegawai kanan universiti serta pegawai eksekutif dan pegawai teknikal dari badan-badan korporat yang terlibat didalam industri aeronautik di Malaysia.

Majlis ini diadakan untuk menjaga dan mengekalkan jalinan hubungan kerjasama di antara Jabatan Kejuruteraan Aeronautik (JKA), UTHM dengan pihak kolaborator, badan-badan korporat dan syarikat yang terlibat di dalam industri aeronautik. Untuk makluman, JKA menjalinkan kerjasama secara langsung bagi tujuan perlesenan untuk penerbangan professional bersama Asia Pacific Flight Training (APFT), perlesenan untuk penyenggaraan pesawat terbang bersama Dilog Training & Services Sdn. Bhd. (DTS) dan perlesenan untuk Kawalan Trafik Udara bersama Malaysia Aviation Academy (MAVA). Selain itu UTHM juga menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia yang bertanggungjawab dalam mengurus hal ehwal industri penerbangan awam negara.

Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan rakan industri aeronautik yang baru dalam menambah baik dan memperkembangkan program aeronautik UTHM dengan cara memperkenalkan dan mempromosikan program aeronautik UTHM kepada syarikat-syarikat baru dalam industri aeronautik di Malaysia. Tetamu yang menghadiri majlis telah diberikan penerangan ringkas berkenaan sejarah penubuhan dan perjalanan program oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Prof Ir Dr Abas b Ab Wahab.

Majlis ini juga secara tidak langsung bertujuan untuk mempromosikan bakal graduan dari kursus aeronautik UTHM baik bagi tujuan tajaan mahupun peluang kerja kepada mereka setelah bergraduan kelak. Majlis ini juga sebagai salah satu paltform antara industri bersama dengan pelajar untuk tujuan interaksi dua hala yang lebih baik dan juga bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan input berguna tentang pengalaman kerja sebagai juruterbang professional dan jurutera penyenggaraan pesawat terbang.

Tetamu industri yang terlibat dalam penerbangan professional serta penyenggaraan pesawat terbang yang hadir memberikan sokongan adalah terdiri daripada syarikat seperti MAS Engineering, Air Asia Flight Operations, MAS Flight Operations, Air Asia Licensed Aircraft Engineer, AIROD Sdn Bhd, Malindo Air dan CTRM. Selain itu majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu dari syarikat seperti Scandinavian Avionics Sdn Bhd, Mycopter Aviation Services Sdn Bhd, AAR Landing Gear Services Sdn Bhd, GE Engine Services Malaysia dan ramai lagi.

Selain dari bertukar pendapat, majlis ini turut memberi penghargaan kepada badan-badan korporat yang telah banyak membantu dalam pembangunan program aeronautik UTHM sejak dari awal perjalanan program sehinggalah ke tahun ketiga penubuhannya. Penghargaan diberikan kepada pihak kolaborator dan syarikat-syarikat yang telah menjalankan kerjasama sewaktu latihan industri pelajar.

 

Disediakan oleh:

Dr Nurhayati Rosly

 

Dikeluarkan oleh:

Shafry bin Salim
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat
Pejabat Naib Canselor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

Categories
Hubungan Industri

RELATED ARTICLE