Sebagai sebuah universiti premier dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memberi penekanan yang serius dalam aspek pembinaan dan usaha penambahbaikan kemudahan infrastruktur serta prasarana universiti bagi memastikan kemudahan di universiti di tahap yang terbaik.

31 November 2013 merupakan satu lagi tarikh bersejarah kepada semua warga UTHM apabila dengan rasminya Bangunan Kompleks Renang UTHM diserahkan kepada UTHM daripada pihak kontraktor setelah beberapa tahun mengalami kelewatan di tapak bina.

Bangunan Kompleks renang ini telah dibina di bawah peruntukan PFI melalui Projek Sukan Fasa 2 yang turut merangkumi Blok Pentadbiran yang kini telah beroperasi lebih setahun di bawah pengurusan Pusat kokurikulum. Kos keseluruhan projek yang bernilai RM 22 juta ini meliputi sebuah substation dan juga infrastruktur yang menyokong keseluruhan kompleks termasuk tempat meletak kenderaan, laluan pejalan kaki dan dataran ampitheater.

Bagi Bangunan Kompleks Renang ini pula, terdapat dua kolam utama bersaiz olimpik iaitu kolam terjun sedalam 5 meter dan kolam renang 8 lane yang kini sedang di dalam proses pengiktirafan daripada Amateur Swimming Union of Malaysia (ASUM). Selain daripada itu, bangunan ini turut dapat memuatkan seramai 300 orang di ruang duduk penonton yang menghadap terus ke kolam acara. Bangunan ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan sokongan seperti ruang mandi, bilik persalinan dan bilik kawalan bagi kegunaan sewaktu acara atau pertandingan.

Bangunan Kompleks Renang ini bukan hanya terbuka kepada seluruh warga UTHM tetapi terbuka kepada seluruh masyarakat setempat untuk bersama-sama merasai kemudahan yang disediakan. Ianya juga merupakan salah satu usaha dan inisiatif universiti dalam menjayakan projek di bawah University Community Transformation Centre (UCTC) iaitu menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada komuniti bandar di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan.

Kepada masyarakat setempat khususnya warga Batu Pahat, sebarang pertanyaan berkaitan penggunaan kolam renang UTHM sila hubungi  Pusat Sukan UTHM di talian 07-453 7482.